PETALING JAYA: Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong tidak seharusnya dilihat sebagai cuti umum sahaja tanpa adanya sebarang pengisian kepada setiap lapisan masyarakat terutamanya golongan anak muda dan belia.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd. Alif Anas Md. Noor berkata, golongan belia pada hari ini perlu mengetahui bahawa Hari Keputeraan Agong bukanlah semata-mata sekadar cuti umum.
Katanya, simbol yang lebih besar Yang di-Pertuan Agong adalah merupakan lambang permuafakatan dan kedaulatan Institusi Diraja yang berkurun lamanya yang perlu sentiasa dihayati oleh golongan muda pada hari ini.
“Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan mengisytiharkan bahawa Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Utama Persekutuan, hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang dalam Persekutuan perlulah diberikan pemahaman yang mendalam terutamanya golongan muda pada hari ini.
“Hari keputeraan Agong adalah peluang untuk golongan muda menghayati dan mengamati proses Institusi beraja di Malaysia.
“Majlis istiadat yang diadakan perlu diamati kerana sistem beraja di Malaysia adalah satu-satunya sistem beraja yang unik dan berteraskan falsafah Raja adalah Payung Negara,” katanya.
Baru-baru ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan semua acara sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada hari ini ditangguhkan setelah mempertimbang peningkatan ketara kes jangkitan Covid-19, kematian baharu akibat wabak dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara sejak 12 Mei lepas.
Mohd. Alif Anas berkata, semua pihak juga perlu memastikan dalam memberikan pengetahuan kepada sekalian rakyat bahawa institusi diraja negara mempunyai nilai dan kepentingannya yang tersendiri dan bukan hanya lambang adat dan kesinambungan sejarah semata-mata.
“Malah menerusi Rukun Negara, konteks Kesetiaan kepada Raja dan Negara untuk dipertahankan oleh golongan belia pada hari ini,” katanya.
Katanya, golongan muda terutamanya perlu memahami perlembagaan dalam negara kita dimana institusi diraja merupakan salah satu elemen dalam politik dan tadbir urus negara.
“Kuasa dan wewenang institusi Diraja adalah dilindungi dalam perlembagaan sebuah negara demokrasi. Jadi dengan ini Yang di-Pertuan Agong bukanlah penghalang kepada demokrasi seperti yang digembar-gemburkan oleh puak muda yang liberal anti-feudal,” katanya.
Tambah beliau, dengan cara kita memahami perlembagaan dan kuasa diRaja, org muda akan lebih menghormati kerana memahami atas kuasa surplus Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja yang akan menyelamatkan negara jika berlaku krisis buruk seperti krisis politik dan sosial.
“Rukun Negara pula tidak harus sekadar dihafal namun perlu dihayati dan diamalkan. Ia ibarat satu keperluan untuk negara ini terus harmoni dalam hidup berbilang bangsa. Itulah tujuan Rukun Negara di rangka,” katanya.
Dalam pada itu, Pemangku Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Fahami Ashrof Badaruddin berkata, dalam konteks perlembagaan Malaysia melalui rukun negara ada menyebut tentang “Kesetiaan kepada Raja dan Negara” dalam erti kata ini, maka sebagai rakyat Malaysia terutamanya golongan belia dan anak muda harus mendalami maksud atau isi yang sebenar.
“Maksudnya anak muda atau belia pada ketika ini harus menjunjung tinggi Perlembagaan Malaysia dengan menunjukan kesetiaan kepada setiap titah dan saranan yang di buat oleh Raja-Raja.
“Dengan menghormati setiap titah ini sahaja cara kita dapat menunjukkan kesetiaan kepada Raja dan mengangkat Rukun Negara,” katanya.
Sementara itu, Presiden Majlis Belia India Malaysia, Dhanesh Basil berkata, sememangnya hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong diterapkan hanya sebagai sekadar cuti umun sahaja.
Bagaimanapun katanya, semua pihak tidak harus mengambil sikap leka pada hari tersebut tetapi mengambil iktibar bahawa hari itu bukan sekadar hari biasa sahaja.
“Hari keputeraan perlu dijadikan hari istimewa bagi menghargai jasa-jasa mereka membentuk negara Malaysia sebelum ini
“Golongan muda juga harus memahami sistem raja berperlembagaan di mana raja diletakkan di tahap tertinggi. Perkara ini perlu diterapkan lagi dan diberi penekanan dalam sistem pendidikan anak-anak kita,” katanya.
Tambah beliau, rukun negara juga tidak harus sekadar menjadi ungkapan semasa perhimpunan sahaja tetapi menjadi sesuatu yang diterapkan dalam pemikiran harian.
“Mungkin kalau minta mereka ungkap Rukun Negara, mereka tahu. Namun sejauh mana mereka menghayati rukun itu dalam aktiviti harian mereka,” katanya.- UTUSAN ONLINE