Harga sayur naik mendadak - Utusan Malaysia

Harga sayur naik mendadak

YUSNITA Yusof menunjukkan sayur sawi mencatat kenaikan harga ketika ditemui di Pasar Awam Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Peniaga di Pasar Awam Bagan Serai di sini mendakwa harga sayur meningkat mendadak sejak semalam malah ada yang naik hampir 200 peratus dipercayai berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di Cameron Highlands bermula 14 hingga 27 Jun depan.

Dipercayai, PKPD di kawasan tanah tinggi itu menyebabkan berlaku masalah di peringkat pemasaran menyebabkan penghantaran sayur ke pasar tergendala.

Peniaga sayur di Pasar Awam Bagan Serai, Tan Teoh Teik, 49, berkata, tomato dan sawi mencatat peningkatan harga hampir 200 peratus sejak semalam.

Katanya, dua hari lalu, harga borong tomato RM4.50 sekilogram namun hari ini meningkat naik sehingga RM6.50 sekilogram manakala harga sayur sawi sebelum ini RM2  sekilogram meningkat hampir RM7 sekilogram.

“Hari ini harga tomato naik tapi bila kita buat tempahan, pembekal kata tak ada bekalan, macam mana saya mahu berniaga” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pasar Awam Bagan Serai hari ini.

Seorang lagi peniaga, Shahrul Nizam Ani, 47, berkata, harga sayur-sayuran mula mencatat peningkatan sejak semalam dengan paling ketara harga sawi dan tomato serta sayuran jenis daun yang lain.

Katanya, dia tidak pasti kenaikan berpunca dari orang tengah yang mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan PKPD di beberapa tempat Cameron Highlands atau kenaikan disebabkan oleh pekebun sayur.

“Peniaga berharap pihak yang berkenaan dapat memantau harga sayuran yang meningkat naik ketika kini,” katanya.

Seorang peniaga, Yusnita Yusof, 47, berkata, kenaikan harga itu  menyebabkan pembeli merungut, menyebabkan penjualan sayuran turut terjejas.

“Kami berharap agar kerajaan dapat segera membuat pemantauan harga sayuran ini dan mengenali punca kenaikannya yang mendadak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri mengesahkan terdapat kenaikan harga sayuran namun tidak menyeluruh.

Menurutnya, ia berlaku disebabkan kekurangan bekalan yang diterima di pembekal Ipoh dari pekebun di Cameron Highlands.

Katanya, jika kenaikan harga disebabkan PKPD, ia tidak sepatutnya berlaku kerana bekalan dan pengedaran sayur adalah aktiviti perlu semasa PKP.

“Sepatutnya harga sayuran lebih murah sebab bekalan sayur akan menjadi banyak dan permintaan kurang semasa PKPD namun aduan yang diterima berlaku disebaliknya.

“Mungkin pemborong terkejut dengan pelaksanaan PKPD di Cameron Highlands, itu yang menyebabkan berlakunya peningkatan harga namun saya percaya harga akan stabil semula dua tiga hari lagi,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan kawasan peranginan popular di Kampung Raja, Cameron Highlands, Pahang dikenakan PKPD mulai semalam hingga 27 Jun ini selepas 29 kes positif Covid-19 dikesan dalam tempoh dua minggu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti itu melibatkan Sungai Ikan, Blue Valley, Taman Matahari Cerah, Taman Desa Corina dan Kampung Baru.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya