KOTA KINABALU: Hanya bacaan doa dan zikir menjadi penenang diri sepanjang Nurmala Hussen, 48, menjalani kuarantin selama 21 hari sebagai pesakit Covid-19 tahap tiga.
Perasaan takut semakin menjadi-jadi apabila doktor memaklumkan jangkitan sudah masuk sehingga ke paru-paru.
Walaupun gejala yang dialami tidak teruk tetapi penyakit darah tinggi yang dihidapi menyebabkan virus Covid-19 mudah merebak ke bahagian paru-paru.
“Untuk menghilangkan rasa takut itu, setiap hari selepas solat fardhu, saya sentiasa berdoa dan berzikir untuk menenangkan diri.
“Apabila dijangkiti Covid-19, pesakit itu sendiri perlu perkuatkan mental dan fizikal untuk melawan penyakit ini. Kita kena banyak makan makanan berkhasiat untuk meningkatkan sistem imunisasi badan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurutnya, sejak pandemik Covid-19 melanda pada Mac tahun lalu, dia begitu berjaga-jaga setiap kali berada di luar rumah namun, mengelak macam mana sekalipun akhirnya dia tetap terkena jangkitan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Nurmala berkata, dia mendapat jangkitan daripada rakan sekerja. Selaku ketua pusat daerah mengundi, semua tuntutan perbelanjaan perlu dihantar kepadanya dan ketika itu dia banyak bertemu dengan rakan-rakan yang bertugas semasa PRN Sabah.
“Gejala saya alami hanya demam dan pada mulanya saya ingat hanya demam biasa kerana terkena hujan. Selepas itu, saya mula berasa sakit tekak dan apabila keluar keputusan pada 12 Oktober tahun lalu, saya disahkan positif Covid-19 dan saya terus dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Pulakop, Kinarut,” katanya.
Selepas PRN Sabah, hampir setiap minggu ambulans memasuki kawasan perumahan mereka untuk mengambil pesakit Covid-19 yang perlu dihantar ke hospital dan PKRC.
Nurmala berkata, disebabkan dia mendapat jangkitan Covid-19, lima lagi ahli keluarganya turut disahkan positif Covid-19. Namun, anggota keluarganya hanya menjalani kuarantin di rumah sahaja.
Nurmala bersyukur kerana mendapat sokongan daripada saudara mara dan jiran tetangga yang sentiasa menghantar barang keperluan dan makanan ketika keluarganya menjalani kuarantin di rumah.
Selepas sembuh daripada Covid-19, dia masih merasa trauma untuk berada di kawasan yang sesak dengan orang ramai dan setiap kali keluar dia akan terus mandi sebaik sahaja pulang ke rumah.
Selaku bekas pesakit, dia amat bersyukur kerana sekarang sudah ada vaksin untuk mengurangkan impak jangkitan Covid-19 dan dia juga sudah menerima dos pertama vaksin Pfizer BioNTech.- UTUSAN ONLINE