REMBAU: Mangsa kemalangan di Kilometer 20, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, 31 Mei lalu, Hana Amyliya Marsyainir Mohd. Bakri masih tidak lagi mengetahui keputusan cemerlang, 7A 2B yang diperolehnya dalam peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).
Ini kerana pelajar Sekolah Menengah Sains Rembau (Semesra) itu masih bertarung nyawa, namun, dalam keadaan stabil di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban setelah menjalani tiga pembedahan akibat kemalangan tersebut.
Menurut bapanya, Mohd. Bakri Mohammad, 48, sebelum kemalangan anaknya sememangnya mahu mendapatkan keputusan cemerlang dan dia juga ‘ulat buku’ dalam kalangan mereka sekeluarga.
“Sejak sekolah rendah lagi Hana sudah menunjukkan sikapnya yang aktif sebagai pelajar, sama ada dalam bidang akademik dan sukan sehinggakan guru-guru juga menyayanginya.
“Kami kini berharap semua pihak dapat mendoakan kesembuhan Hana dan hanya akan menunggu Hana dalam keadaan benar-benar stabil untuk berkongsi berita berkenaan kepadanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Chembong Utama, di sini semalam.
Kemalangan tersebut turut mengorbankan seorang lagi anak Mohd. Bakri, Muhammad Ikhmal Zaqwan Khan yang meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Rembau. – UTUSAN ONLINE