PETALING JAYA : Para guru perlu diberi autoriti dalam menentukan cara bersesuaian dan lebih efektif khususnya membabitkan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam untuk memastikan kemenjadian pelajar didikan masing-masing.
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd. Alif Anas Md. Noor menjelaskan, mereka lebih mengenali dan memahami perkembangan pelajar.
Justeru itu, beliau berkata kenyataan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin bahawa guru sendiri lebih mengenali dan memahami pelajar perlu disambut baik kerana mereka masing-masing sendiri terlibat dalam proses pengajaran.
“Dalam keadaan negara kita masih dibelenggu dengan ancaman Covid-19, keputusan PdPR dibuat Kementerian Pendidikan adalah mengambil kira nasihat diberikan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan, maka sesi pengajaran dan pembelajaran lebih wajar diteruskan secara atas talian bagi membendung penularan virus dalam kalangan pelajar.
“Dengan pengumuman Menteri Kanan Pendidikan hari ini, kita mengharapkan agar proses PdPR berlangsung berjalan dengan baik menerusi kerjasama dan sokongan semua pihak terlibat. GPMS menyeru agar semua pihak terutamanya guru dan ibu bapa berganding bahu membantu agar pelajar menempa kejayaan lebih cemerlang satu hari nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Radzi mengumumkan sesi PdPR akan berlangsung selama 25 hari bermula sesi dibuka pada 13 Jun bagi empat negeri iaitu Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu manakala selebihnya pada 14 Jun ini.
Perkara itu berjalan sehingga sesi cuti pertengahan penggal sekolah pada 16 dan 17 Julai ini.
Dalam pada itu, Mohd. Alif menambah usaha TV Pendidikan menerusi 15 jam siaran Didik TV, empat jam siaran di Astro Tutor TV dan dua jam siaran TV Okey RTM perlu diteruskan bagi memastikan pelajar menghadapi kekangan peranti dan gajet dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan baik.
Katanya, GPMS mengambil maklum Projek Rintis Peranti di bawah Yayasan Hasanah bahawa sebanyak 12,887 peranti telah diagihkan ke 51 Pejabat Pendidikan Daerah melibatkan 95 sekolah manakala 40,290 peranti bakal diserahkan menjelang 12 Jun ini manakala bakinya iaitu 96,823 peranti bakal dilaksanakan sebelum akhir September ini.
“GPMS mengucapkan tahniah kepada kementerian atas pelaksanaan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 walaupun berhadapan dengan pelbagai kekangan yang mana keputusannya bakal diumumkan pada 10 Jun ini.
“Kita juga berterima kasih kepada kementerian yang berusaha sedaya-upaya bagi memastikan guru-guru mendapat vaksin dengan segera. Alhamdulillah seramai lebih 70,000 orang guru telah menerima vaksin sekurang-kurangnya dos yang pertama,” katanya.- UTUSAN ONLINE