JOHOR BAHRU: Seorang guru pusat tuisyen menjadi individu pertama didakwa di bawah Ordinan Darurat selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini kerana memuat naik satu kenyataan tidak benar di laman Facebook miliknya pada 21 April lalu.
Tertuduh, Mohd. Nazaruddin Yusoff, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa telah menggunakan aplikasi Facebook dengan niat menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam telah mengadakan penerbitan yang mengandungi berita tidak benar.
Berdasarkan lampiran, Mohd. Nazaruddin dituduh membuat kenyataan ‘Mati lagi….di Pontian, vaksin kedua’ yang ditulisnya dalam laman Facebook dengan nama akaun Mohd. Nazaruuddin Yusoff.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, pada pukul 11.50 pagi, 21 April lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021.
Jika disabitkan bersalah, boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan dalam hal suatu kesalahan berterusan, boleh didenda selanjutnya tidak lebih RM1,000 bagi tiap-tiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 7 Julai ini.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Difahamkan, pertuduhan itu merupakan satu daripada dua pertuduhan pertama melibatkan Ordinan Darurat di negara ini, selain satu lagi pertuduhan di Perlis yang turut berlangsung hari ini. -UTUSAN ONLINE