Guru perlu segera divaksin - Utusan Malaysia

Guru perlu segera divaksin

AHMAD Saidi Mohamad Daud ditemui pemberita selepas menyerahkan 150 unit telefon pintar di bawah inisiatif TCS kepada ADUN Lubok Merbau di Padang Rengas hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG RENGAS: Kerajaan negeri akan mempercepatkan pemberian vaksin kepada semua guru di negeri ini memandangkan mereka juga sebahagian daripada petugas barisan hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, perkara itu telah dibangkitkan pada Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak minggu lalu.

“Untuk pemberian vaksin kepada guru, saya telah memohon kepada menteri besar untuk percepatkan proses vaksinasi kepada guru dan pendidik di negeri ini.

“Kerajaan negeri dan Menteri Besar telah berikan satu bentuk jaminan sekiranya vaksin yang sepatutnya kita terima minggu ini atau minggu depan dalam jumlah sebenar, golongan guru dan pendidik akan diutamakan bagi mendapat vaksin selepas ini,” katanya.

Ahmad Saidi berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan 150 unit telefon pintar di bawah inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lubok Merbau Dr. Jurij Jalaludin untuk diedarkan kepada pelajar sekolah B40, di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Saidi, pemberian vaksin kepada semua guru perlu dilaksanakan dengan segera bagi memudahkan urusan sekiranya pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka dilaksanakan kelak.

“Apabila semua guru menerima vaksin, sudah pasti ibu bapa rasa selamat dan sekiranya PdP secara bersemuka di dalam kelas berlaku ia akan beri kelegaan kepada mereka untuk hantar anak-anak bersekolah,” katanya.

Ahmad Saidi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan terdapat guru yang menolak pemberian vaksin.

“Saya tidak boleh tolak, andaian saya mungkin ada tapi setakat ini saya belum dengar guru di negeri ini menolak untuk divaksin.

“Saya percaya warga pendidik tahu kepentingan untuk individu mengambil vaksin dan saya yakin kesedaran ini pada guru di Perak,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN