Guna teman wanita sebagai 'mata-mata' jenayah - Utusan Malaysia

Guna teman wanita sebagai ‘mata-mata’ jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menjadikan teman wanita sebagai ‘mata-mata’ bagi melakukan kegiatan jenayah pecah kedai dan sekolah.

Itu modus operandi Geng Aqil yang ditumpaskan polis dengan penahanan enam individu dalam serbuan di Lorong Bakawali Batu 18, Kuang di sini pada Sabtu lalu.

Kesemua suspek berusia 18 hingga 20 tahun itu ditahan susulan laporan diterima pihak polis daripada seorang pemilik bengkel yang memaklumkan premis miliknya dipecah masuk di Saujana Utama kira-kira pukul 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa’aton Abu Bakar berkata, kesemua suspek diberkas di Lorong Bakawali Batu 18, Kuang di sini beberapa jam selepas kejadian pecah masuk bengkel terbabit.

Katanya, siasatan awal mendapati geng itu aktif melakukan kegiatan itu sejak Januari lalu dengan terbabit dalam dua kes pecah kedai di Sungai Pelong dan tiga kes pecah sekolah di Sungai Buloh.

“Geng ini menggunakan teman wanita mereka sebagai ‘mata-mata’ bagi melihat keadaan di sekitar lokasi sasaran mereka seperti bengkel kereta dan sekolah sebelum hasil curi itu dijual kepada kenalan rapat selain kegunaan sendiri.

“Ketika ditahan, semua suspek berkenaan berada dalam sebuah Proton Wira dan beberapa barang dipercayai hasil curi turut ditemukan dalam kenderaan itu. Kita turut merampas beberapa barangan di rumah seorang daripada suspek. Antara barang yang dirampas adalah alat ganti dan aksesori motosikal, minyak hitam selain pemutar skru serta spanar dianggarkan bernilai RM20,000,” katanya di sini hari ini.

Shafa’aton berkata, semakan mendapati tiga daripada empat suspek lelaki mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah manakala tiga lagi suspek termasuk dua wanita tidak memiliki rekod.

Ujarnya, semua suspek masih dalam tahanan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah kedai.

“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu membanteras jenayah di daerah ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya