GEORGETOWN:Pulau Pinang sekali lagi memperoleh pengiktirafan antarabangsa apabila media berpengaruh di India, Times of India menamakan Georgetown sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa Bangsa Bersatu (Unesco) terbaik di Asia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, Georgetown telah lama menjadi pilihan pelancong asing sebagai destinasi pelancongan budaya dan warisan.
Tambah beliau, pengiktirafan oleh Times of India ini membuktikan hala tuju pelancongan di negeri ini bergerak ke arah yang tepat.
“Kita berharap dapat berkongsi mengenai budaya masyarakat berbilang kaum di negeri ini dengan pelancong dari seluruh dunia selepas sekatan pergerakan pelancong antarabangsa ditamatkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Pulau Pinang tersenarai di tangga ketiga selepas Malta dan Mallorca, Sepanyol sebagai 15 pulau terbaik di dunia untuk menikmati usia persaraan bagi tahun 2021 menerusi artikel yang diterbitkan Travel Awaits.
Menurut Soon Hin, menerusi statistik daripada Penang Tourists Survey 2019 sebanyak 39.7 peratus pelancong antarabangsa dan 24.2 peratus pelancong domestik mengunjungi Pulau Pinang untuk bersiar-siar di Georgetown.
“Dengan jumlah pelancong yang tinggi ke Georgetown, kerajaan negeri ingin mewujudkan kerjasama yang lebih erat antara pelancong dan penggiat industri pelancongan yang berkait rapat dengan warisan dan budaya tempatan.
“Disebabkan itu, kerajaan negeri meletakkan warisan sebagai salah satu titik fokus dalam Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang,” katanya.
Dalam pada itu Soon Hin berkata, kerajaan negeri juga menggalakkan penggiat industri pelancongan yang berkait rapat dengan warisan budaya tempatan mempromosi perniagaan mereka secara online menerusi projek norma baharu yang dipelopori Georgetown World Heritage Incorporated (GTWHI).
Katanya, projek itu dilaksanakan dalam tiga fasa dan memberi manfaat kepada 3,000 peniaga tempatan dan 267 penggiat warisan serta budaya di Pulau Pinang.
“Usaha ini akan mempersiapkan mereka untuk terus bergerak selepas situasi negeri ini pulih daripada pandemik Covid-19.
“Pelancong kemudiannya dapat menikmati kekayaan warisan seni dan budaya di Pulau Pinang secara digital serta mudah mencari maklumat mengenai negeri ini di enjin carian internet,” katanya. – UTUSAN ONLINE