Gaji menteri besar, exco kerajaan Kedah dipotong sebulan - Utusan Malaysia

Gaji menteri besar, exco kerajaan Kedah dipotong sebulan

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Gaji menteri besar dan barisan exco kerajaan negeri Kedah akan dipotong sebulan untuk disumbangkan kepada Tabung Amanah Covid-19 yang ditubuhkan kerajaan negeri bagi membantu golongan terkesan dengan keadaan semasa.

Menteri besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pemotongan itu melibatkan pembayaran gaji bulan Jun.

“Saya tidak tahulah berapa jumlah keseluruhan, tetapi, potongan gaji itu akan dibuat pegawai kewangan negeri.

“Potongan gaji tersebut akan dimasukkan ke Tabung Amanah Covid-19 yang akan digunakan bagi membantu golongan memerlukan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Majlis Daerah Sik di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Pas Kedah, Mohd. Azam Abd. Samat memberitahu, kesemua 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Kedah bersetuju menyumbang 70 peratus daripada gaji mereka pada bulan ini bagi membantu golongan yang terkesan dengan Covid-19.

Menurut beliau, sebanyak 50 peratus daripada sumbangan itu disalurkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) manakala 20 peratus akan disumbangkan kepada Tabung Bencana Covid-19 yang dilancarkan Pas Pusat.

Sementara itu, Muhammad Sanusi memberitahu, setakat ini, masih tiada keperluan buat negeri ini mendapatkan bantuan dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membina hospital medan untuk menampung jumlah pesakit Covid-19 seperti di Kepala Batas, Pulau Pinang.

“Saya tahu, ATM juga ada kekangan dalam hal ini. Lagi pun, ada negeri-negeri lain yang lebih memerlukan dari kita seperti Pulau Pinang yang mana ramai rakyat negeri lain, menyeberang secara harian ke sana untuk bekerja,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya