PETALING JAYA : Penjaja dan peniaga kecil wajar didedahkan dengan konsep perniagaan tanpa tunai terutama ketika semua pergerakan dihadkan dalam tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.
Meski pun kerajaan menyediakan pakej bantuan pinjaman mikrokredit dan industri kecil dan sederhana (IKS) berjumlah RM 4 bilion dalam suntikan bukan fiskal melalui Pemerkasa Tambahan, kerajaan juga wajar membantu peniaga-peniaga kecil.
Ini kerana rata-rata mereka masih menjalankan transaksi tunai dan mengadakan aktiviti jual beli secara fizikal.
Sehubungan itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Khaidhirah Abu Zahar mencadangkan supaya infrastruktur digital e-dagang perlu diintegrasikan dengan peniaga kecil bagi meluaskan capaian perniagaan mereka dalam komuniti dan meningkatkan permintaan setempat.
“Melihat kepada permasalahan ini, kerajaan seharusnya memberikan perhatian secara serius tentang pembangunan infrasruktur digital
“Ini kerana dengan pergerakan yang dihadkan, kebergantungan kepada e-dagang telah meningkat ,” ujarnya kepada Utusan Online.
Menurut Khaidhirah lagi berdasarkan laporan Austrade, Malaysia memiliki kadar pertumbuhan tertinggi jumlah aktiviti e-dagang di ASEAN iaitu 35 peratus untuk tempoh 2018 hingga 2023.
Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan program – program rakyat yang lebih inklusif, bukan sahaja untuk golongan B40 tetapi juga M40 khususnya di bandar-bandar.
Ini kerana katanya, siri pakej rangsangan dan pemerkasaan ekonomi seringkali menunjukkan golongan M40 terkeluar daripada fokus pakej bantuan tersebut.
Menurut beliau lagi, mereka sering dilihat sebagai kumpulan yang tidak akan menghadapi masalah untuk menyediakan makanan di atas meja.
“Ya, mungkin benar. Tetapi kumpulan M40 ini bukan sahaja menjadi nadi daya tahan ekonomi tetapi juga kumpulan penting untuk aktiviti ekonomi negara dipulih dan dikembangkan semula.
“Golongan ini kebanyakannya adalah mereka yang menjalankan perniagaan IKS demi melangsungkan kehidupan sendiri, survival perniagaan mereka dan terpaksa membuang pekerja bagi mengurangkan kos operasi, “ ujar beliau.
Khaidhirah mengakui pakej bantuan Pemerkasa Tambahan memperuntukkan RM 2 billion subsidi upah, namun suntikan fiskal tersebut hanya lima peratus dan suntikan fiskal keseluruhan hanya 13 peratus daripada keseluruhan jumlah pakej bantuan tersebut.
Jumlah tersebut belum mencukupi bagi pemilik IKS menampung kos operasi melalui pengekalan pekerja jika peratusan kerugian mereka lebih besar berbanding peratusan kadar subsidi upah.
Justeru, jika ada acara yang lebih baik untuk mereka tidak perlu mengambil langkah drastik membuang pekerja, pendekatan tersebut bukan sahaja dapat melangsungkan perniagaan, tetapi juga menahan daripada peningkatan kadar pengangguran.
Khaidhirah berkata, antara kerajaan dan rakyat, tidak perlu melalui pelbagai proses birokrasi hanya untuk melepaskan atau meluluskan bayaran kerja yang telah siap.
“Sistem e-kerajaan seharusnya menjadi lebih mesra rakyat kepada semua, dan tidak menyusahkan peniaga IKS ini,” katanya.
Ramai kontraktor Melayu khususnya terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu untuk meneruskan perniagaan kerana modal pusingan tidak mencukupi akibat kelewatan proses meluluskan untuk banyak jenis bayaran.
Apabila bayaran yang dijadualkan itu ‘tersangkut’, mereka terpaksa menggunakan simpanan peribadi, dan ini telah menjejaskan banyak perkara.
Simpanan peribadi habis digunakan untuk perniagaan seperti membayar gaji pekerja, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), insurans, simpanan dan banyak lagi.
Mereka juga terpaksa memberhentikan pekerja khususnya di peringkat kakitangan sokongan seperti kerani.
Meskipun kata beliau gaji kerani tidak tinggi iaitu anggaran RM1,500 hingga RM2,200 sebulan, tetapi sekiranya dikalikan dengan kadar bulanan sepanjang tahun, dengan caruman KWSP dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Socso) , sektor IKS akan terasa bebannya dan pekerja akan kehilangan pendapatan.
Sehingga Julai 2020, sebanyak 4,542 syarikat telah ditutup manakala pada Mac lalu, angka tersebut meningkat kepada 78,420.
Menurut beliau lagi, seramai 3,927 individu pula telah diisytiharkan muflis selepas tamat tempoh moratorium sejak Oktober 2020 hingga Mac 2021 menurut Jabatan Insolvensi Malaysia.
“Angka-angka yang membimbangkan ini sudah pasti akan turut meningkat dan jika mahkamah masih beroperasi, jumlah perintah kebangkrapan juga dijangkakan meningkat sama.
Atas faktor itu lah, UMNO khususnya membawa rasional marotorium pukal bagi memastikan keupayaan tunai rakyat kurang terkesan kerana perbelanjaan isi rumah semakin berkurang dan fenomena muflis boleh diminimumkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE