Firma guaman gagal batal saman Zaid - Utusan Malaysia

Firma guaman gagal batal saman Zaid

MOHD. ZAID IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tetuan Zaid Ibrahim & Co. (ZICO) gagal membatalkan saman yang difailkan oleh Datuk Mohd. Zaid Ibrahim berhubung penggunaan nama beliau selaku pengasas firma guaman itu.

Ini bermakna, saman yang dikemukakan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri terhadap firma guaman terbesar di Malaysia itu akan didengar di Mahkamah Tinggi melalui perbicaraan penuh.

Hakim Datuk Ahmad Bache memutuskan demikian ketika menolak permohonan ZICO (defendan) untuk membatalkan saman Mohd. Zaid selaku plaintif.

Dalam keputusan itu, mahkamah bagaimanapun menolak permohonan injunksi sementara agar ZICO dihalang menggunakan nama plaintif.

Mahkamah menetapkan 17 Ogos ini bagi pengurusan kes menerusi e-Review.

Dalam keputusannya, Hakim Ahmad berpuas hati bahawa isu berhubung had masa yang disandarkan oleh defendan tidak sesuai untuk dilupuskan begitu sahaja tanpa  melalui perbicaraan penuh.

Ujarnya, mahkamah meneliti hujahan defendan  bahawa saman yang difailkan oleh Mohd. Zaid melebihi tempoh masa iaitu selepas lebih 10 tahun beliau meninggalkan  ICO.

Beliau berpendapat, afidavit-afidavit sokongan yang difailkan oleh plaintif dan defendan perlu dinilai dan ditentukan melalui keterangan saksi dan pemeriksaan balas.

Menurut Hakim Ahmad, pembelaan defendan berhubung had masa selepas Mohd. Zaid melupuskan sahamnya dalam firma guaman tersebut,  menunjukkan beliau tidak berminat lagi dengan ZICO.

Ujar beliau, bukan sahaja isu berkenaan pelupusan saham menjadi pertikaian kedua-dua pihak, malah baki saham plaintif yang mendakwa beliau mempunyai baki lima peratus ekuiti dalam syarikat itu yang kemudikan dinafikan oleh defendan, perlu ditentukan melalui perbicaraan.

“Perbicaraan penuh perlu didengar selepas mahkamah berpuas hati wujud percanggahan fakta yang  dikemukakan dalam afidavit kedua-dua pihak.

“Plaintif turut memberi versi bercanggah berhubung pelupusan saham dalam kedua-dua pernyataan tuntutan dan pernyataan tuntutan yang dipinda dan perkara itu perlu diperjelaskan oleh plaintif bagi membolehkan mahkamah menilai kebenaran dan kredibilitinya,” ujar beliau.

Mahkamah berpuas hati bahawa Mohd. Zaid telah  menjual pegangan sahamnya pada 2008 dan ini membuktikan beliau tidak berminat lagi dengan firma guaman itu Pada 18 November tahun lalu, Mohd. Zaid selaku  plaintif memfailkan saman dengan menamakan firma guaman itu sebagai defendan tunggal ekoran notis penamatan perkhidmatan tanpa diberi peluang bersuara.

Plaintif turut memfailkan permohonan injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya menggunakan nama `Zaid Ibrahim & Co.’ atau namanya.

Defendan pula memfailkan permohonan bagi membatalkan tuntutan saman atas alasan writ saman difailkan melebihi had masa yang dibenarkan.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa beliau tidak boleh menubuhkan firma guaman baharu miliknya selagi nama itu digunakan oleh ZICO dan memprejudiskan dirinya.

Bagaimanapun, Hakim Ahmad menyatakan, jika Mohd. Zaid berminat untuk beramal semula sebagai peguam, beliau boleh menubuhkan firma baharu atas nama lain contohnya `Zaid Ibrahim and Associates’ atau `Chambers of Zaid Ibrahim’.

Dalam penyataan tuntutan Mohd Zaid berkata, beliau menubuhkan firma guaman Zaid Ibrahim & Co. pada 1987 dan beransur-ansur mengembangkan firmanya dengan  memasukkan rakan kongsi termasuk Chew Seng Kok dan Datuk Seri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani.

Katanya, sepanjang amalan guamannya, beliau memperoleh nama baik dalam firma tersebut khususnya bagi mendapatkan keanggotaan panel bersama dengan institusi kewangan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sehinggalah beliau meninggalkan firma selepas dilantik sebagai menteri pada 2008.

Katanya, pada 5 Oktober tahun lalu, defendan membuat tawaran kepadanya supaya menyertai semula Zaid Ibrahim & Co. sebagai rakan kongsi ekuiti sedia ada dan  pengerusi bermula daripada 1 November tahun lalu.  Mohd Zaid berkata, beliau menerima tawaran itu dan memasuki semula firma itu namun semua kedudukannya dalam firma guaman itu ditamatkan serta-merta pada 9 November tahun lalu.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya