LANGKAWI: Perkhidmatan feri penumpang dari Langkawi ke Kuala Kedah dekat sini beroperasi semula hari ini selepas dihentikan sementara sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Darurat (PKPD) di daerah Kota Setar pada 19 Mei lalu.
Perjalanan feri penumpang itu meliputi laluan dua hala iaitu dari Terminal Feri Penumpang Langkawi ke Kuala Kedah dan Kuala Kedah ke Langkawi.
Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, kemudahan tersebut disediakan untuk membantu orang ramai yang mempunyai urusan penting di dua lokasi tersebut walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak mendapat keuntungan daripada pembukaan semula perjalanan feri tersebut kerana jumlah jualan tiket tidak dapat menampung kos operasi feri..
“Pihak konsortium menawarkan perkhidmatan feri itu atas rasa tanggung jawab sosial korporat (CSR) dengan mengambil kira rungutan penumpang yang berulang-alik dari tanah besar ke Langkawi dan sebaliknya untuk urusan serta tugas tertentu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Selain itu, katanya, pihaknya juga akan memastikan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat dipatuhi pada sepanjang operasi feri penumpang tersebut.
“Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta membuat pemantauan dan penguatkuasaan SOP terhadap semua penumpang ketika berada di terminal pelepasan mahupun ketibaan,” katanya.
Sementara itu, seorang pelajar dari Kolej Komuniti Langkawi, Siti Nur Liyana Sa’don, 20, berkata, dia menaiki feri untuk pulang ke Alor Setar selepas menamatkan sesi latihan industri di sini semalam.
Katanya, dia lega apabila perkhidmatan feri penumpang beroperasi semula pada hari ini selepas dihentikan sejak 19 Mei lalu.
“Perjalanan feri penumpang dari Langkawi ke Kuala Kedah dan sebaliknya perlu disediakan walaupun satu perjalanan setiap hari untuk kemudahan orang ramai untuk berulang-alik,” ujarnya.
Seorang lagi penumpang feri, Suhaimi Sapawi, 51, yang menetap di sini berkata, dia sering berulang-alik untuk temu janji rawatan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
“Saya terpaksa menangguh temu janji rawatan susulan itu di HSB ketika perkhidmatan feri penumpang tidak beroperasi,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE