Fasiliti kesihatan boleh lumpuh -Adham - Utusan Malaysia

Fasiliti kesihatan boleh lumpuh -Adham

ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kapasiti fasiliti kesihatan kerajaan pada masa ini berada pada tahap maksimum dengan keberangkalian tinggi untuk lumpuh.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba berkata, situasi itu boleh berlaku jika jumlah kes baharu positif Covid-19 yang dicatatkan di antara 8,001 kepada 13,000 kes sehari.

Menurut beliau, kes positif di negara ini meningkat semula secara mendadak pada April dengan 8,290 kes dilaporkan pada 28 Mei diikuti dengan 9,020 pada 29 Mei lalu dengan status penularan jangkitan adalah tinggi dengan keupayaan untuk respon adalah rendah.

Kata beliau, pada peringkat ini, tindakan kementerian adalah memberi fokus kepada pemberian hanya rawatan paliatif untuk pesakit yang berkemungkinan rendah untuk sembuh dan tidak memasukkan pesakit ini ke unit rawatan rapi atau hospital.

“Hanya pesakit yang berkemungkinan tinggi untuk sembuh sahaja diberi keutamaan.

“Ini termasuk mewujudkan kemudahan di luar hospital untuk menempatkan pesakit yang memerlukan bantuan alat pernafasan seperti khemah khas dan dewan khas sebagai kemudahan rawatan kritikal berskala besar,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM, di Kuala Lumpur hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menjangkakan kes positif Covid-19 boleh melonjak kepada 13,000 kes dalam sehari pada 14 Jun ini mengikut unjuran nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) pada 1.2.

Unjuran kes itu kemungkinan berlaku dalam tempoh dua minggu lagi dan ia bergantung kepada keberkesanan pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bermula kelmarin.

Dalam pada itu, Adham berkata, tahap kesiapsiagaan hospital pada peringkat ini ialah pada tahap 2 iaitu mengenal pasti lebih banyak hospital untuk dijadikan hospital Covid-19 (secara sepenuhnya atau hybrid), meningkatkan penyimpanan berpusat (stock piling) peralatan perubatan dan bekalan perubatan lain serta menukar fungsi wad-wad biasa untuk dijadikan sebagai katil rawatan kritikal.

Katanya, kemasukan pesakit kategori 3 ke hospital dikurangkan dengan memasukkan pesakit kategori itu ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) untuk rawatan dan pemantauan manakala pesakit kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen minimum dirawat di PKRC kecuali jika keadaan pesakit semakin teruk.

“Kita akan mengubah suai standard dan penyampaian perkhidmatan merawat pesakit kritikal seperti seorang jururawat merawat dua hingga tiga pesakit di ICU selain memobilisasi dalaman dan mengerahkan semua anggota dari semua disiplin untuk merawat Covid-19.

“Mengoptimakan sepenuhnya sumber tenaga manusia seperti syif berganda, meningkatkan kekerapan tugas atas panggilan, meningkatkan bilangan doktor bertugas atas panggilan setiap malam,” katanya.

Selain itu, Adham berkata, hospital medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diwujudkan serta meningkatkan penggunaan atau mengambil alih hospital pengajar universiti dan hospital ATM.

Beliau menjelaskan, penyumberan luar pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta ditingkatkan untuk pembedahan atau prosedur elektif yang perlu disegerakan termasuk rawatan akut atau kecemasan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya