PUTRAJAYA: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berharap lebih ramai usahawan di bawah agensi itu memasarkan produk mereka menerusi aplikasi Mukmin Mart.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, setakat ini, 300 usahawan berdaftar dengan aplikasi diurus Mukmin Pay Sdn. Bhd..
“FAMA bekerjasama dengan pihak syarikat pembangun aplikasi ini dan walaupun masih baharu, nilai jualan dari Februari hingga bulan lalu sudah merekodkan RM500,000,” katanya selepas melakukan tinjauan di MyFarm Outlet (MFO) di Presint 7 di sini hari ini dengan turut diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Mukmin Pay, Mohd. Yusni Ismail.
MFO itu mula beroperasi sejak 1 Mac 2016 hasil cetusan idea bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membantu golongan B40 membeli produk tani pada harga lebih murah.
Dibuka setiap hari kecuali Isnin, seramai 13 usahawan membuka operasi di sini sepanjang sekatan pergerakan penuh selama 14 hari susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata, susulan kejayaan awal aplikasi Mukmin Mart itu, FAMA berharap 5,000 usahawan di bawah agensi itu dapat didaftar menjelang akhir tahun ini.
“Mukmin Pay optimis mampu mencapai sasaran jualan lebih RM6.5 juta pada hujung tahun ini apabila diperluaskan kesemua outlet pemasaran FAMA seluruh negara,” jelas beliau.
Pada masa sama, Mukmin Pay juga membuka peluang pekerjaan baharu dalam era ekonomi gig melalui program Mukmin Mart Rider untuk golongan belia menjadi penghantar barangan.
Ketika ini, ujar beliau, syarikat itu sudah pun mempunyai seramai 500 petugas penghantaran manakala lebih 3,000 orang pengguna di Lembah Klang telah menggunakan aplikasi tersebut.
Buat permulaan, usahawan FAMA yang beroperasi di 16 lokasi Pasar Tani sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya menjadi kumpulan perintis bagi aplikasi berkenaan.
Che Abdullah juga memaklumkan pembukaan Bilik Gerakan FAMA dan beroperasi dari 8 pagi hingga 7 petang sepanjang PKP 3.0 bagi membantu petani yang ada masalah pemasaran.
“Para pengguna juga boleh mendapatkan maklumat mengenai operasi Pasar Tani Terkawal, MFO dan Pusat Operasi FAMA dibuka di seluruh negara dengan lebih tepat,” jelas beliau. -UTUSAN ONLINE