KUALA NERANG: Keluhan dua sahabat yang kerugian kerana tidak dapat memasarkan pisang berangan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh pada awal bulan ini mendapat perhatian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Pengarah FAMA, Isa Hamzah berkata, pihaknya menawarkan kepada Mohd. Azlan Abdul Manaf dan Azmir Abd. Rahman yang masing-masing berusia 37 tahun untuk menyertai program Ladang Kontrak.
“Kedua-dua mereka bersetuju untuk menyertai program ini dan FAMA akan membantu mereka memasarkan pisang berangan yang diusahakan.
“Kita akan bantu mereka mencari dan mengatur tempat untuk memasarkan hasil pertanian tersebut.
“Sebelum ini, mereka tidak menghubungi FAMA untuk kita bantu pasarkan tanaman berkenaan dan saya harap masalah dihadapi mereka selesai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Isa, FAMA menerusi Pusat Operasi Alor Setar dan Pejabat FAMA Daerah Pokok Sena dan Padang Terap telah mengatur kaedah pemasaran hasil pertanian tanaman pisang seluas 11.58 hektar membabitkan lapan peserta berdaftar di bawah program Ladang Kontrak.
Utusan Malaysia pada 22 Jun lalu melaporkan dua sahabat dari Kampung Belimbing Kiri di sini terpaksa menanggung kerugian hampir RM10,000 apabila tidak dapat memasarkan tanaman pisang diusahakan mereka berikutan PKP Penuh sejak awal bulan ini.-UTUSAN ONLINE