Facebook lubuk 'scammer online' - Utusan Malaysia

Facebook lubuk ‘scammer online’

FACEBOOK menjadi platform menipu mereka yang kurang berpengetahuan dalam media sosial -GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebanyak 93 kes berkaitan penipuan pembelian dalam talian (online) dilaporkan di negeri ini dengan kerugian keseluruhan berjumlah RM769,986.58 setakat Mei lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintenden E. Sundra Rajan berkata, penipuan banyak berlaku di Facebook dengan 40 kes membabitkan kerugian sebanyak RM479,509.73 diikuti Instagram dengan 30 kes (RM115,383.75) dan 15 kes di Mudah.My (RM77,020).

Menurut beliau, platform lain seperti Lazada dan Google masing-masing hanya merekodkan satu kes sementara Shopee dua kes.

“Jumlah kerugian bagi setiap platform ini tidak melebihi RM7,000. Bagaimanapun, berbeza dengan WhatsApp apabila mencatatkan kerugian berjumlah RM80,550 untuk empat kes sahaja.

E. SUNDRA RAJAN

“Berdasarkan laporan yang diterima, pembeli berumur 31 hingga 40 tahun paling ramai menjadi mangsa dengan 31 kes sementara kakitangan swasta paling ramai ditipu membabitkan 59 kes diikuti kerajaan (11 kes), ahli perniagaan (tujuh kes) dan bekerja sendiri (tujuh kes),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Sundra Rajan, jenayah penipuan atau scam bukan perkara baharu di negara ini memandangkan setiap hari ada sahaja kes yang dilaporkan membabitkan kerugian jutaan ringgit.

Jelasnya, tabiat berbelanja orang ramai berubah kepada secara dalam talian untuk membeli barang sejak pandemik Covid-19 melanda negara Mac tahun lepas.

“Pergerakan rakyat yang terbatas disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut menyumbang ke arah perubahan corak pembelian ini. 

“Sehubungan dengan itu, polis menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tawaran jualan dalam talian yang lebih murah berbanding harga pasaran,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya