PETALING JAYA : Facebook Istana Negara hari ini memuat naik petikan kenyataan media dikeluarkan kelmarin berhubung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar sesi persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Hantaran bersama potret Seri Paduka itu memetik titah yang menyatakan ia untuk membolehkan ordinan-ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.
“Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi kerajaan, maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
“Ini untuk membolehkan ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat,” kata petikan hantaran itu.
Yang di-Pertuan Agong kelmarin menzahirkan pandangan sesi persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat.
Titah itu dikeluarkan selepas Sesi Perbincangan Khas berlangsung antara Yang di-Pertuan Agong Dan Raja-Raja Melayu di Istana Negara.
Seramai lapan Raja-Raja Melayu berangkat ke Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu kecuali Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Dalam pada itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataan berkata, Raja-Raja Pemerintah menyokong pendirian Yang di-Pertuan Agong agar Parlimen bersidang dengan segera
Raja-Raja Pemerintah berpandangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibolehkan bersidang mengikut kaedah dan pelaksanaan beberapa negara yang berjaya mengawal penularan wabak Covid-19. -UTUSAN ONLINE