Enam kakitangan bank direman lulus pinjaman tidak layak - Utusan Malaysia

Enam kakitangan bank direman lulus pinjaman tidak layak

ENAM pegawai dan kakitangan sebuah bank direman tujuh hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor bagi membantu siasatan dakwaan meminta dan menerima rasuah daripada pemohon pinjaman peribadi melibatkan RM18 juta pada 2018 hingga 2020. UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Enam kakitangan sebuah bank termasuk seorang penolong pengurus direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan meminta dan menerima wang suapan membabitkan 110 pinjaman peribadi bernilai RM18 juta antara 2018 hingga 2020.

Perintah tahanan reman terhadap semua suspek berusia 36 hingga 45 tahun itu dikeluarkan  Majistret Raja Nor Adilla Raja Mahyaldin.

Kesemua suspek yang direman itu merupakan penolong pengurus, pegawai pemprosesan pembiayaan dan dua masing-masing ketua unit pembiayaan serta kerani.

Menurut sumber, suspek menyasarkan individu tidak layak mendapat pinjaman peribadi antaranya seperti yang disenarai hitam dan mempunyai hutang lapuk.

Sumber berkata, semua suspek yang bekerja lebih lima tahun di beberapa cawangan sebuah bank di sekitar Lembah Klang aktif menjalankan kegiatan itu sejak 2018 hingga 2020 dengan meluluskan 110 pinjaman peribadi bernilai RM18 juta.

“Mereka dipercayai telah meluluskan permohonan yang sebenarnya tidak layak untuk membuat pinjaman. Antara permohonan yang diluluskan ialah mereka disenarai hitam, mempunyai hutang lapuk atau melebihi 60 peratus pendapatan mereka serta dokumen sokongan tidak lengkap seperti pengesahan jawatan sama ada bekerja atau tidak.

“Semua suspek dipercayai telah meminta dan menerima wang suapan antara 15 hingga 35 peratus daripada keseluruhan transaksi pinjaman ini menerusi ejen perunding kewangan,” katanya.

Tambah sumber, siasatan masih diteruskan dan dalang utama dan suspek lain yang terlibat dalam sindiket ini masih dikesan.

Difahamkan, SPRM juga telah merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM69,000 dan beberapa jam tangan mewah serta telefon bimbit daripada suspek tersebut dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah lebih RM100,000.

Terdahulu, semua suspek ditahan semalam ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kira-kira pukul 4.45 petang.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009. -UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya