Enam beradik jadi anak angkat PN Melaka - Utusan Malaysia

Enam beradik jadi anak angkat PN Melaka

MOHD. RAFIQ Naizamohideen (kiri) menyerahkan sumbangan PN negeri kepada Hajiah Hairun (tiga dari kanan) di Kampung Pekan Tangga Batu, Tangga Batu, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perikatan Nasional (PN) Melaka mengambil enam beradik yang tidak mempunyai sijil kelahiran sebagai anak angkat bagi membela nasib dan kebajikan mereka.

Pengerusinya, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, beliau bimbang sekiranya anak-anak yatim piatu itu tidak mendapat pembelaan sewajarnya terutamanya dalam soal pendidikan.

Menurutnya, ketiadaan dokumen penting itu menyebabkan proses persekolahan sedikit sukar selain perlu membayar levi yang tinggi kerana bukan berstatus warganegara.

“Saya tidak mahu mereka keciciran. Untuk mendapat sijil pengangkatan mengambil masa dua tahun dan selepas itu baru boleh memohon taraf warganegara.

“Saya sudah bercakap dengan Pegawai Pendidikan Melaka Tengah dan mereka sedia membantu. PN negeri akan membayar segala yuran awal sebelum mereka memulakan persekolahan termasuk pakaian seragam,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada enam beradik itu di kediaman mereka di Kampung Pekan Tangga Batu dekat sini hari ini.

Kisah enam beradik itu tular setelah Utusan Malaysia melaporkan mereka tidak memiliki sijil kelahiran disebabkan status perkahwinan arwah ibu dan bapa diklasifikasikan sebagai perkahwinan tidak teratur oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Dalam perkembangan lain, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali turut hadir menziarahi dan sudahpun menyerahkan sendiri sijil kelahiran kepada semua kanak-kanak terbabit.

Tambah Mohd. Rafiq, beliau juga sudah menghubungi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi memberikan bantuan sewajarnya susulan penjaga yang juga ibu saudara, Hajiah Hairun, 48, seorang orang kurang upaya (OKU) yang hanya menerima RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“PN negeri turut menghulurkan bantuan berupa pek makanan dan wang tunai selain akan menyediakan kelengkapan rumah seperti katil.

“Saya sendiri melihat tempat mereka tidur dan hanya beralaskan tilam lama yang diletakkan di lantai. Selepas ini kebajikan mereka akan dipantau dari semasa ke semasa setelah menjadi anak angkat PN negeri,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya