JOHOR BAHRU: Penderitaan sebuah keluarga 13 beranak yang hidup terhimpit sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac tahun lalu mendapat pembelaan apabila pihak pasar raya Econsave menyumbangkan barangan keperluan asas kepada keluarga berkenaan.
Malah, bukan sahaja bantuan berkenaan yang diterima Nor Aziah Anuar dan suami, Ramizan Ramli serta 11 orang anak mereka, pihak Econsave turut menawarkan peluang pekerjaan kepada ahli keluarga itu untuk memastikan pendapatan mereka berterusan.
Pengurus Besar Pasar raya Econsave, Mas Imran Adam berkata, pihaknya terpanggil untuk menyampaikan bantuan apabila mengetahui terdapat sebuah keluarga yang kesempitan hidup berikutan pandemik Covid-19 ketika ini.
“Pihak Econsave sedia membantu bagi meringankan beban keluarga ini yang terpaksa hidup dalam serba kekurangan, jadi kami menawarkan pekerjaan kepada suami serta anak-anaknya yang tidak bekerja untuk bekerja di pasar raya kami,” katanya.
Terdahulu, Mas Imran hadir ke rumah keluarga berkenaan di Jalan Permatang 7, Kempas untuk memberikan sumbangan bernilai RM1,000 termasuk barangan keperluan bayi dan makanan harian.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, penangan pandemik Covid-19 cukup memberi tamparan hebat buat Nor Aziah yang tidak dapat membayangkan bagaimana nasib mereka 13 beranak yang penuh berliku sejak PKP pertama dilaksanakan.
Episod duka suri rumah dan anak-anaknya itu mula dirasai apabila suami yang menjadi tulang belakang mencari rezeki bagi membesarkan anak bermula usia empat bulan hingga 22 tahun hilang pekerjaan sebagai juruelektrik secara kontrak sejak PKP tahun lalu.
Sejak itu, Ramizan yang sukar untuk mendapat kerja tetap kerana kebanyakan majikan masing-masing mengehadkan bilangan pekerja terpaksa keluar memancing ikan untuk dijadikan lauk buat mereka sekeluarga.
Sementara itu, Nor Aziah yang ditemui semula hari ini bersyukur apabila ada pihak yang sudi membantu keluarga besarnya ketika pandemik Covid-19 termasuk memberikan peluang untuk bekerja bagi menyara keluarga.
“Alhamdulillah kami sekeluarga amat menghargai pemberian barangan ini dan peluang yang ditawarkan pihak Econsave,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE