HULU TERENGGANU: Dua tahanan kes curi yang melarikan diri dengan melompat keluar dari van polis ketika dalam perjalanan ke Balai Polis Ajil, berjaya ditahan semula di lokasi sama di Kampung Temala di Pengkalan Berangan, Marang selepas bebas kira-kira dua jam.
Kejadian pada pukul 10.45 pagi itu berlaku ketika dua tahanan tersebut bersama dua orang kena tahan (OKT) lain selesai pertuduhan dan sambungan reman di Mahkamah Majistret Marang.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, kedua-duanya yang dikawal di kerusi belakang bertindak menyerang anggota pengiring dan semasa pergelutan itu, seorang daripadanya telah membuka pintu belakang kenderaan sebelum melompat keluar untuk melarikan diri ke arah ladang kelapa sawit yang terletak di tepi jalan.
Katanya, dua anggota pengiring mengejar kedua-dua OKT berkenaan, tetapi, gagal dan semasa melarikan diri, mereka digari secara berangkai dengan memakai baju lokap berwarna oren.
“Usaha pencarian dijalankan di sekitar ladang kelapa sawit di Kampung Temala itu dan tahanan pertama yang berusia 39 tahun dijumpai kira-kira 1 kilometer dari lokasi kejadian, pada pukul 12.03 tengah hari.
“Pada pukul 1.12 petang pula, tahanan kedua yang berusia 38 tahun ditangkap kira-kira 3 kilometer dari lokasi kejadian dan kedua-duanya dibawa ke Balai Polis Ajil untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Adli berkata, operasi mengesan dua tahanan itu dilakukan secara bersepadu melibatkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, IPD Marang di samping pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Unit K9 di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Terengganu dengan kekuatan seramai 130 orang termasuk 80 polis dan 50 orang awam.
Terdahulu, katanya, kedua-dua tahanan itu ditangkap pada 30 Mei lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.-UTUSAN ONLINE