REMBAU: Dua penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam nahas tiga buah kenderaan di Kilometer 20, Jalan Seremban-Tampin, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 malam berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Chembong itu, mangsa, S. Mahesan, 25, maut di lokasi kejadian.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Ikhmal Zaqwan Khan Mohd. Bakri, 15, pula disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Rembau.
Ketua Polis Daerah Rembau, Pemangku Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, kemalangan berkenaan membabitkan tiga buah motosikal iaitu dua daripadanya jenis Honda dan satu jenis Modenas.
“Berdasarkan siasatan awal, Mahesan menunggang motosikal dari arah Seremban menghala ke Rembau. Apabila sampai di tempat kejadian, motosikalnya telah bertembung dengan motosikal yang ditunggang Muhammad Ikhmal Zaqwan yang datang dari arah bertentangan.
“Kemudian datang motosikal ketiga dari arah Rembau oleh seorang lelaki berusia 29 tahun menghala ke Seremban dan tidak sempat mengelak lalu terlanggar objek motosikal yang berada atas laluan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hazri berkata, motosikal yang ditunggang Muhammad Ikhmal Zaqwan turut dibonceng kakaknya, Hana Amyliya Marsyainir Mohd. Bakri, 18, yang kini dirawat di hospital sama akibat mengalami kecederaan patah kaki dan luka di bahagian kepala.
Seorang lagi penunggang motosikal yang terbabit kemalangan mengalami kecederaan ringan dan dirawat di zon hijau hospital tersebut.
“Mayat kedua-dua mangsa akan dibedah siasat pukul 10 pagi ini di Jabatan Forensik Hospital Rembau. Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.