SEREMBAN: Dua lelaki maut manakala seorang lagi lelaki cedera selepas sebuah lori ayam yang dinaiki mereka terbabas dan kemudian terbakar dalam kejadian di Kilometer 283.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Nilai, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, kejadian pukul 3 pagi tadi itu apabila lori berkenaan dipandu oleh seorang lelaki berusia 48 tahun dalam perjalanan dari arah Seremban ke Perak.
Jelas beliau, lori itu telah mengalami hilang kawalan lalu melanggar besi penghadang kiri jalan sebelum terbabas melanggar tiang jejambat sehingga mengakibatkan lori berkenaan terbakar.
“Akibat kemalangan berkenaan, mangsa, N. Vasutheven yang merupakan pemandu lori berjaya dikeluarkan oleh orang awam namun meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
“Seorang lagi, mangsa iaitu kelindan, R. Mohan Raj, 28, tersepit di tempat duduk penumpang meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, seorang lagi penumpang lori yang merupakan anak kepada pemandu lori yang berusia, V. Dharshaan 16, berjaya keluar sebelum lori terbakar dan mengalami kecederaan di kepala dan kaki dihantar ke wad kecemasan Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk rawatan lanjut.
Jelasnya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987- UTUSAN ONLINE