PORT DICKSON: Tindakan dua lelaki yang cuba membawa masuk dadah jenis syabu kepada rakannya yang sedang dirawat sebagai pesakit Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Politeknik Port Dickson di sini memakan diri apabila mereka ditahan polis, semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitenden Aidi Sham Mohamed berkata, kedua-dua suspek berusia 27 dan 35 tahun itu cuba mengaburi pihak berkuasa dengan membawa masuk dadah jenis syabu dalam bungkusan makanan.
“Dua suspek itu cuba membawa dadah jenis syabu untuk diberikan kepada rakan mereka yang juga pesakit Covid-19 yang dirawat di PKRC Politeknik Port Dickson
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan polis turut merampas satu bungkusan plastik mengandungi ketulan berbentuk kristal disyaki dadah jenis syabu dan satu tiub kaca yang dibalut dengan tisu dipercayai digunakan sebagai alat menghisap dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas Aidi Sham, hasil ujian air kencing yang dijalankan juga mendapati kedua-dua suspek yang ditahan positif dadah jenis syabu.
“Polis Port Dickson bersama agensi berkaitan akan sentiasa meningkatkan kawalan di PKRC Politeknik Port Dickson bagi mengelak sebarang benda atau bahan terlarang masuk dalam kawasan tersebut terutama dadah.
“Polis akan mengambil tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Aidi Sham memberitahu, sebanyak 29 kompaun atas pelbagai kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP telah dikeluarkan pihaknya pada hari kedua pelaksanaan PKP Penuh semalam.
“Kesalahan dilakukan termasuk tidak memakai pelitup muka, tidak mengimbas kod MySejahtera, berkumpul tanpa penjarakan fizikal dan membawa penumpang melebihi kapasiti yang dibenarkan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan serta mengingatkan supaya semua masyarakat khasnya di daerah ini supaya sentiasa mematuhi SOP yang telah digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara. -UTUSAN ONLINE