PUTRAJAYA : Dua lelaki warga Bangladesh diberkas Jabatan Imigresen (JIM) Selasa lalu selepas didapati terbabit dalam satu sindiket menguruskan Program Rekalibrasi Pulang.
Suspek masing-masing berusia 38 dan 53 tahun itu ditahan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Putrajaya dalam satu serbuan di sebuah bilik sewa premis kedai yang terletak di Lebuh Ampang, Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaime Daud berkata, salah seorang suspek yang ditahan adalah individu yang dikehendaki Jabatan Imigresen Negeri Kedah rentetan tangkapan ejen Program Rekalibrasi di negeri berkenaan pada Mac lalu.
Beliau berkata, serbuan turut menemui empat naskhah pasport, empat Dokumen Perjalanan Bangladesh yang disyaki untuk digunakan dalam Program Rekalibrasi dan puluhan slip temu janji dalam talian (STO) di Pejabat Imigresen Malaysia di pelbagai negeri.
“Kami turut merampas borang permit pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tujuan rentas negeri, dokumen kedutaan Bangladesh dan lapan kad bank.
“Kesemua barang yang ditemui dipercayai berkait dengan aktiviti yang dijalankan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Kata beliau, siasatan mendapati, suspek menyasarkan warga Bangladesh yang telah tinggal lebih masa atau tidak mempunyai dokumen di negara ini.
Khairul Dzaime berkata, sindiket itu juga disyaki mengeluarkan Dokumen Perjalanan Bangladesh secara tidak teratur dan memperdayakan warganegara Bangladesh dalam urusan Program Rekalibrasi JIM.
Menurutnya, sindiket turut mengenakan bayaran antara RM1,100 hingga RM2,600 bagi setiap permohonan Rekalibrasi dan caj antara RM1,000 hingga RM1,500 bagi permohonan mendapatkan dokumen perjalanan.
“Berdasarkan slip STO yang dijumpai sindiket ini disyaki telah menguruskan lebih daripada 200 permohonan sepanjang Program Rekalibrasi dijalankan.
“Kedua-dua suspek ditahan dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966,” katanya.
Katanya, pihaknya sekali lagi menegaskan bahawa JIM tidak pernah melantik mana-mana ejen bagi menguruskan Program Rekalibrasi ini.- UTUSAN ONLINE