Dua beradik leka bungkus dadah dicekup - Utusan Malaysia

Dua beradik leka bungkus dadah dicekup

MOHD. Hamizi Halim (tengah) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas dalam serbuan di Kampung Baru-Baru, Tuaran, Sabah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUARAN: Dua beradik dicekup ketika sedang leka melakukan aktiviti pembungkusan dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Baru-Baru baru-baru ini.

Dua beradik itu dipercayai mula terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di kawasan Tuaran sejak tiga tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd. Hamizi Halim berkata, operasi tersebut dijalankan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran hasil maklumat serta risikan mengenai kegiatan penyalahgunaan dadah di daerah ini.

Ketika serbuan, kedua-dua suspek sedang leka membungkus bekalan dadah dipercayai untuk diedarkan kepada pembeli dan penagih.

“Berdasarkan pemeriksaan, polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 323.63 gram bernilai RM33,360 mengikut harga pasaran tempatan,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Daerah Tuaran hari ini.

Beliau berkata, siasatan selanjutnya mendapati kedua beradik iaitu wanita berusia 34 tahun dan lelaki berusia 22 tahun itu bergiat aktif sejak tiga tahun lalu dan menggunakan rumah mereka sebagai tempat pembungkusan dan penyimpanan dadah.

Bekalan dadah itu difahamkan untuk diedarkan sekitar Tuaran sehingga ke Kota Belud kerana kedudukan Kampung Baru-Baru itu terletak di sempadan dua daerah tersebut.

Mohd. Hamizi berkata, polis sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti dalang utama serta kumpulan pengedar lain yang berhubung kait dengan sindiket pengedaran dadah pasangan beradik ini.

“Pihak polis juga akan menyiasat dari mana bekalan dadah yang banyak ini diperoleh. Disamping itu, kita akan menyiasat cara pengedaran dadah tersebut sama ada dijual secara atas talian atau menggunakan kaedah lain,” katanya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya