SUNGAI PETANI: Dua daripada tiga anggota polis yang ditahan selepas disyaki terlibat melarikan peti besi mengandungi wang tunai RM400,000 di sebuah pejabat syarikat kurier Rabu lalu dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, bagaimanapun, seorang lagi anggota polis berpangkat Sarjan masih ditahan bersama tujuh lagi suspek yang merupakan orang awam untuk membantu siasatan.
“Hasil siasatan yang dijalankan, kita telah menemui semula 92 peratus wang tunai yang dilarikan kumpulan itu.
“Sebahagian wang itu ditemui di rumah dan di dalam kereta suspek terbabit,” katanya.
Beliau kepada pemberita selepas menyertai operasi memeriksa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di 30 buah kilang di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Roze Shaari, dan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah.
Dalam kejadian pukul 1.30 pagi Rabu lalu, sekumpulan lelaki itu dikesan melarikan peti besi mengandungi wang tunai sebanyak RM400,000 selepas mereka bertindak mencabut fius utama bekalan elektrik di luar premis menyebabkan televisyen litar tertutup (CCTV) tidak berfungsi sebelum mengumpil pintu utama premis berkenaan.
Sebuah peti besi mengandungi wang tunai berjaya dilarikan dan selepas lapuran polis dibuat oleh pemilik syarikat, lima orang awam dan tiga anggota polis ditahan Khamis lalu.
Polis turut ditahan sehari kemudian ialah dua orang awam menjadikan kesemua 10 suspek berumur antara 21 hingga 50 tahun ditahan untuk membantu siasatan.
Kamarul Zaman berkata, polis akan menyambung reman kesemua mereka untuk melengkapkan siasatan selepas perintah reman mereka akan berakhir 1 Julai ini. -UTUSAN