DPBFM tuntut 11 perkara ketika sekatan pergerakan penuh - Utusan Malaysia

DPBFM tuntut 11 perkara ketika sekatan pergerakan penuh

MOKHTAR MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Dewan Perniagaan Bumiputera Felda Malaysia (DPBFM) menuntut kerajaan mempertimbangkan 11 perkara untuk faedah semua golongan rakyat sempena sekatan perjalanan menyeluruh (total lockdown) selama 14 hari bermula 1 Jun lalu.

Presidennya, Mokhtar Mohd. Ghazali berkata, dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar ketika ini, rakyat mahukan moratorium secara automatik selama setahun dan bukannya bersyarat serta bersasar.

Beliau berkata, institusi perbankan, agensi kewangan, syarikat kredit dan lain-lain agensi terlibat wajib membantu dan menyokong rakyat serta negara bagi pencegahan wabak pandemik Covid-19 dengan moratorium tanpa faedah dan secara automatik kepada semua warganegara di negara ini.

“Total lockdown perlu menyeluruh pada semua jenis perniagaan kecuali stesen minyak dan berkaitan kesihatan sahaja. Tiada guna buka 10 peratus sektor ekonomi sedangkan yang lain tidak berfungsi.

“Perincian sekatan perjalanan menyeluruh yang lebih telus terhadap penguatkuasaan dan pelan sebelum dan selepas pelaksanaannya supaya rakyat tidak bosan dan meningkatkan kebolehpercayaan terhadap kerajaan.

“Kami juga menuntut janji kerajaan bagi membeli vaksin dengan kadar segera serta mempercepatkan dan memperbanyakkan lagi pusat-pusat vaksin. Ia dilihat satu langkah yang paling berjaya dalam memulihkan Covid-19 di peringkat global setakat ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mokhtar berkata, kerajaan juga dituntut supaya segera membantu sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), golongan pekerja serta usahawan kerana telah hampir setahun hanya bergantung dengan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurutnya, kemudahan kredit perlu dikaji dan dipermudahkan terutama selepas Covid-19 dibendung bagi memulihkan ekonomi peniaga kecil, PKS dan semua rakyat terutama dalam merancakkan sektor ekonomi, hartanah dan lain-lain yang kini merudum sekali gus memberikan kesan kepada mereka.

“Bantuan Program Subsidi Upah (PSU) dan seumpamanya perlu dilaksanakan dengan segera serta menyambung bantuan upah tersebut yang dikira sedikit sebanyak membantu mengurangkan lambakan kes diberhentikan kerja terus berleluasa.

“Elaun para menteri, semua ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri (ADUN), lantikan politik dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu dipotong sekurang-kurangnya 50 peratus bagi merasai apa rakyat rasa dan menampung sedikit sebanyak ekonomi negara yang semakin tenat ketika ini ataupun dibuat tabung dan diagihkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan kelak,” katanya.

Beliau berkata, pengecualian atau rebat bil eletrik serta air perlu diberikan dan begitu juga dalam kalangan pihak swasta seperti Astro, Maxis, Digi dan lain-lain syarikat telekomunikasi demi membantu rakyat yang kini amat memerlukan sokongan semua.

“Memberi cuti rehat yang lama atau elaun khas kepada petugas barisan hadapan tanpa perlu mengisi borang yang pelbagai. Ketahuilah, ramai frontliner tidak dapat elaun tersebut kerana perlu isi borang yang pelbagai dan perlu ditandatangani ramai pihak,” katanya.

Beliau berharap, cadangan-cadangan itu dipertimbangkan kerana rakyat marhaen semakin sengsara dan amat terkesan sejak beberapa kali perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya