Disangka 'kerja' si musang, rupanya dibaham sawa - Utusan Malaysia

Disangka ‘kerja’ si musang, rupanya dibaham sawa

ANGGOTA APM daerah Alor Gajah berjaya menangkap ular sawa seberat 20 kilogram yang membaham 13 ekor ayam dalam kejadian di Kampung Padang Besar, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Pesara tentera di Kampung Padang Besar di sini tergamam melihat seekor ular sawa melingkar kekenyangan selepas membaham 13 ekor ayam di dalam reban miliknya, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, ular seberat 20 kilogram berjaya ditangkap dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menurut Safri Abdul Rahman, 63, kehadiran ular itu disedari ketika dia ingin memberi ternakannya makan.

“Apabila saya masuk ke dalam reban, saya lihat ada seekor ular sawa melingkar dipercayai kekenyangan kerana dua ekor ayam saya hilang.

“Saya kemudian masuk ke dalam rumah dan meminta isteri Norliza Otoh, 54, menghubungi APM untuk menangkap ular tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Safri berkata, dia mula menternak ayam dua bulan lalu, dengan membeli sebanyak 50 ekor anak ayam sebagai permulaan.

Namun, ujarnya, beberapa ternakannya itu ditemui mati sejak minggu lalu.

“Sejak minggu lalu, saya menjumpai beberapa bangkai ayam dengan keadaan dimakan separuh di dalam reban dan pada awalnya menyangka ia kerja si musang.

“Ayam-ayam ini tidak pernah dilepaskan dari reban, itu yang saya pelik. Hari ini barulah terbongkar, rupa-rupanya ternakan saya telah dibaham ular sawa, kini ayam yang tinggal hanyalah 37 ekor sahaja,” jelasnya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah, Leftenan (PA) Mohd. Ridhwan Latip berkata, pihaknya menerima panggilan bantuan pada pukul 11.24 pagi, lantas sepasukan tiga anggota dikejarkan ke lokasi bagi operasi kes menangkap ular.

“Anggota APM menjumpai ular sawa sepanjang 12 meter di dalam reban ayam tersebut dan mengambil masa lima minit untuk menangkapnya.

“Dipercayai ular ini datang dari kawasan hutan atau sungai berdekatan kediaman berkenaan untuk mencari makanan. Kita telahpun melepaskan semula haiwan itu di tempat selamat, jauh dari kawasan kediaman,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya