Desakan batal PSR penindasan politik kepada Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Desakan batal PSR penindasan politik kepada Pulau Pinang

ZAIRIL Khir Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Desakan menteri-menteri Perikatan Nasional (PN) supaya projek tambak laut di perairan selatan negeri ini,(PSR) dibatalkan adalah bersifat hipokrit dan merupakan penindasan politik kepada Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, selain itu, desakan tersebut juga dilihat bertujuan membantutkan kesejahteraan Pulau Pinang dengan membunuh peluang pekerjaan dan menyukarkan pemulihan negeri ini daripada krisis Covid-19.

“Secara faktanya, PSR telah dirancang dengan teliti bukan sahaja sebagai pembangunan mapan yang mematuhi piawaian ESG (alam sekitar, sosial dan pentadbiran) antarabangsa.

“Ia juga bakal menjadi pemangkin untuk pelaburan asing dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi di samping dapat menghalang penghijrahan keluar modal insan serta menarik bakat-bakat terbaik ke Pulau Pinang,” katanya dalam kenyatan di sini hari ini.

Sebelum ini, dua menteri Kabinet PN, iaitu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggesa kerajaan Pulau Pinang menghentikan projek PSR.

Selain dua menteri berkenaan, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) turut mendesak projek itu dibatalkan.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, sejurus selepas membentuk kerajaan ‘pintu belakang’ tahun lepas, kerajaan PN telah mula menyasarkan Pulau Pinang.

“Tiga projek infrastruktur strategik telah dibatalkan atau digantung pelaksanaannya iaitu projek kereta kabel Bukit Bendera yang bernilai RM100 juta.

“Selain itu, projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang bernilai RM800 juta turut dibatalkan dan paling ketara, pembatalan jaminan bon sukuk berjumlah berbilion ringgit bagi pembiayaan sistem LRT di Pulau Pinang,” katanya.

Tambahnya, di saat negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19 yang hampir tidak terkawal, segala usaha sepatutnya diberikan kepada program vaksinasi nasional dan sistem kesihatan negara yang makin tenat.

“Menteri-menteri PN lebih berminat bermain politik dengan memangsakan Pulau Pinang sekali lagi.

“Namun, yang peliknya, mereka tidak pula menyuarakan kebimbangan terhadap projek-projek tambakan berskala besar di negeri-negeri yang dipimpin PN seperti Kedah, Johor, Terengganu, Kelantan dan Melaka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya