Desak sidang khas Parlimen, DUN - Utusan Malaysia

Desak sidang khas Parlimen, DUN

ADLY ZAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pakatan Harapan (PH) Melaka menggesa persidangan khas di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan segera untuk perbincangan dan menggembleng kerjasama dalam menangani Covid-19 serta usaha pemulihan ekonomi.

Pengerusinya, Adly Zahari berkata, rakyat memerlukan maklumat yang tepat dan telus di sebalik alasan darurat bagi mengetahui proses pengurusan kerajaan dalam menangani wabak yang dilihat tidak konsisten dan tidak teratur serta pengurusan vaksinasi yang agak mencurigakan.

Jelasnya, pelbagai persoalan dan isu perlu dibangkitkan khususnya berkaitan dengan sumber dana dan bagaimana ia digunakan.

“Untuk itu, satu persidangan khas baik di peringkat Parlimen mahupun DUN perlu dilaksanakan segera agar terdapat ruang perbincangan antara kerajaan dan pembangkang,” katanya dalam kenyataan bersama dengan Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Melaka, Datuk Halim Bachik.

Tambah Adly lagi, sebagai sebuah negara dan negeri yang mengamalkan demokrasi, kekuatan pelaksanaannya terletak pada fungsi serta peranan institusi Parlimen dan DUN dalam proses semak dan imbang kepada pihak eksekutif.

Katanya, Perlembagaan negeri Melaka di bawah Perkara 19 (1) menyatakan, Yang Dipertua Negeri hendaklah memanggil DUN bermesyuarat dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan jarak enam bulan antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang kemudiannya.

“Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Melaka di bawah Peraturan 4(5) menyatakan panggilan bertulis mesyuarat bagi mana-mana persidangan hendaklah dihantar oleh setiausaha kepada ahli-ahli supaya sampai kepada mereka tidak kurang daripada 30 hari sebelum hari mesyuarat, tetapi, dalam keadaan darurat, Speaker bolehlah tidak mengkehendaki notis itu dan dalam keadaan yang demikian hendaklah dikeluarkan notis dengan seberapa segeranya.

“Justeru, ketiadaan persidangan Parlimen dan DUN telah menghakis proses semak dan imbang serta suara dan keluhan rakyat semakin tidak didengari,” ujarnya.

Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan Jemaah Menteri bersetuju sidang Parlimen ditangguhkan hingga 1 Ogos depan dan keputusan itu dibuat berdasarkan alasan perundangan serta analisis data dan sains mengenai kekhuatiran penularan di dalam bangunan Parlimen. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya