Dekat bandar pun capaian internet lemah - Utusan Malaysia

Dekat bandar pun capaian internet lemah

Daniel O. Napoleon semasa mengikuti sesi PdPR dari rumah mereka di Kampung Rancangan Pekebun Kecil, Beluran Sabah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELURAN: Walaupun tempat tinggal hanya 10 minit menaiki kenderaan ke Pekan Beluran namun liputan internet masih menjadi kekangan utama bagi pelajar mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Nangka, Sylvia Francis,41, berkata, memandangkan sekolah itu dikelilingi ladang sawit jadi, capaian Internet internet memang lemah dan ini yang sering menjadi kerisauan ibu bapa apabila PdPR dilaksanakan.

Atas sebab itu, sekolah tidak boleh mengadakan sesi pengajaran secara dalam talian melalui Google meet mahupun Zoom seperti yang dilakukan oleh guru-guru yang mengajar di bandar.

SYLVIA FRANCIS

“Untuk itu, guru-guru di sekolah mengambil langkah mengedarkan lembaran kerja secara manual lebih awal. Itu pun, apabila saya lihat dalam kumpulan Whatsapp ibu bapa, tidak semua pelajar menghantar kerja sekolah yang diberikan.  

“Macam kelas anak saya yang kini Tahun Tiga, daripada 35 orang pelajar, tidak sampai separuh yang menghantar kerja sekolah yang diberikan.

“Rasanya ini bukan juga disebabkan pelajar tidak memberikan komitmen tapi, ada antara ibu bapa mereka tidak begitu pandai menggunakan aplikasi Whatsapp serta tiada telefon pintar.

“Pelajar daripada keluarga yang susah memang tiada gajet atau peranti jadi, keadaan itu mengekang anak mereka untuk menghantar kerja sekolah pada hari yang ditetapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Ibu kepada Daniel O. Napoleoon ini berkata, apabila PdPR dilaksana ada juga ibu bapa yang cuba membantu anak-anak menyiapkan kerja sekolah namun, apabila soalan itu sukar dijawab, tiada panduan yang boleh diikuti.

“Perlu difahami bukan semua ibu bapa di sini berpelajaran tinggi. Jadi bukan mudah untuk mereka membantu anak-anak menyiapkan kerja sekolah,” katanya.

Untuk itu, beliau meletak harapan yang tinggi agar masalah liputan internet di kawasan SK Sungai Nangka ini dapat ditambah baik agar ia memudahkan murid sekolah memberikan komitmen dan menghantar kerja sekolah apabila PdPR dilaksanakan.

Beliau juga berharap agihan peranti untuk pelajar dari golongan B40 itu akan disegerakan sebelum sesi PdPR yang baru bermula.

Sylvia berkata, sebenarnya tidak sukar untuk memantau kerja sekolah semua pelajar di sekolah itu sekiranya ada peranti dan capaian internet baik kerana setiap darjah hanya mempunyai sebuah kelas sahaja.

“Untuk PdPR selepas cuti semester ini, saya harap ibu bapa memberikan lebih banyak komitmen untuk memastikan anak-anak tidak ketinggalan dalam pelajaran. Jika tiada gajet sekali pun, berikan masa satu atau dua jam untuk mengajar anak membaca mahupun mengira,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya