MERSING: Pernah melihat kesukaran perjalanan akhir jenazah penduduk yang terpaksa dibawa ke tanah perkuburan dengan menaiki lori ekoran tidak mempunyai kemudahan kenderaan jenazah.
Demikian situasi yang menjentik hati seorang pemuda, Syahrul Nizam Zainal, 30, sehingga dia tekad melepaskan jawatan imam pada tahun lalu bagi memberi fokus sepenuhnya terhadap urusan memudahkan pengurusan jenazah melibatkan masyarakat sekitar.
Syahrul Nizam yang juga pengasas Persatuan Kebajikan Prihatin Mersing atau dikenali Team Prihatin berkata, dia bersyukur kerana niatnya itu dipermudahkan apabila kini mempunyai dua buah van jenazah hasil sumbangan dana daripada orang ramai.
“Ketika usia saya 28 tahun, tiada satu pun van jenazah di Endau dan saya pernah melihat jenazah penduduk dibawa ke kubur menggunakan lori, dari situ menjadi permulaan bagi saya untuk mencari dana dan pewakaf sebelum menubuhkan persatuan pada 2019.
“Saya mulakan dengan mencari dana sehinggalah ada hamba Allah dan adik-beradiknya mewakafkan sebuah van atas nama arwah ibu mereka untuk kami jaga dan bantu orang Endau. Itu permulaan hingga saya ambil keputusan berhenti jadi imam untuk gerakkan persatuan bagi membantu golongan memerlukan di sini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Syahrul Nizam berkata, setelah setahun hasil daripada sumbangan pengurusan jenazah, persatuannya dapat membeli sebuah lagi van terpakai atas nama persatuan bagi ditempatkan di Mersing.
Katanya, persatuan kini mempunyai seramai sembilan sukarelawan berusia 19 hingga 30 tahun terdiri daripada pemandu dan juga pasukan pengurusan jenazah termasuk untuk solat jenazah serta membacakan talkin yang sekali gus dapat melatih mereka dalam hal ehwal tersebut.
“Kami buat apa yang mampu, Team Prihatin juga tiada kaitan dengan mana-mana badan atau parti politik kerana kami bergerak secara sukarela. Dalam kalangan sukarelawan pun mereka ada kerjaya masing-masing. Sumbangan diterima adakalanya daripada orang perseorangan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mengamanahkan hasrat mereka kepada kami.
“Kami hanya menjalankan amanah. Tiada mereka tiadalah kami, Alhamdulillah sehingga hari ini disamping dua buah van jenazah kami juga memiliki sebuah kenderaan komuniti yang juga berfungsi sebagai ambulan hasil sumbangan pewakaf-pewakaf dan pelbagai pihak,” katanya.
Kata Syahrul Nizam, perkhidmatan disediakan mereka memfokuskan kepada golongan yang tidak berkemampuan seperti asnaf atau tidak berwaris yang diberikan secara percuma. Manakala, kain kafan percuma yang diperolehi hasil sumbangan pula hanya diberikan kepada keluarga yang benar-benar tidak mampu sahaja.
“Saya juga memiliki impian untuk mewujudkan bilik pengurusan jenazah sendiri untuk membantu jabatan forensik di sini. Selain bercadang membeli sebuah lori yang lengkap dan boleh digunakan untuk menguruskan jenazah di dalam kenderaan itu,” katanya.
Ujarnya, persatuan juga kini sedang mengumpul dana untuk membeli sebuah lagi kenderaan jenazah berharga RM50,000 sebagai kemudahan baharu ekoran van digunakan untuk perjalanan jauh kerap mengalami masalah.
Orang ramai yang mahu membantu boleh salurkan ke akaun Bank Islam persatuan 010-960-1003-3289 atau menghubungi 018-787 8985. -UTUSAN ONLINE