Dana khas MAIPk RM14.6j bantu rakyat - Utusan Malaysia

Dana khas MAIPk RM14.6j bantu rakyat

SULTAN NAZRIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan dana khas Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) berjumlah RM14.6 juta untuk tujuan membantu rakyat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang Dipertua MAIPk, Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini berkata,  Sultan Nazrin memahami kesan langsung yang menjejaskan hidup rakyat terutama dalam kalangan asnaf, fakir, miskin dan mereka yang tidak berpendapatan tetap susulan PKP 3.0.

Menurut  Mohd. Annuar, dana khas MAIPk yang diperkenankan oleh Sultan Perak berjumlah RM14,606,000 bertujuan membiayai pelbagai keperluan untuk rakyat.

Beliau berkata, antaranya bantuan kecemasan kelangsungan hidup berjumlah RM10.9 juta.

Katanya,  bantuan itu  untuk ketua isi rumah dan penerima bantuan kewangan bulanan MAIPk yang terjejas sumber pendapatan kerana diberhentikan kerja, tidak dapat menjalankan perniagaan, diberi cuti tanpa gaji kerana majikan menghentikan operasi atau atas sebab-sebab lain yang munasabah.

“Sebanyak RM606,000 berbentuk tajaan peralatan rawatan dan perubatan yang diperlukan segera oleh Jabatan Kesihatan Perak bagi kegunaan petugas medan di barisan hadapan.

“Sumbangan untuk petugas barisan hadapan Covid-19 sebanyak RM400,000 disalurkan melalui agensi-agensi berkaitan untuk keperluan kebajikan petugas-petugas barisan hadapan.

“Sebanyak RM1.5 juta untuk pemberian tablet dan data internet kepada usahawan daripada kalangan asnaf untuk menjalankan perniagaan secara atas talian, juga kepada pelajar tingkatan 5 daripada kalangan ketua isi rumah fakir-miskin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Annuar berkata, bantuan kebajikan pelajar luar negara sebanyak RM200,000 disediakan untuk mahasiswa dan mahasiswi negeri ini yang sedang berada di luar negara iaitu diMesir, Jordan, Indonesia dan lain-lain negara.

Katanya, sebanyak RM400,000 disediakan untuk bantuan operasi pusat-pusat jagaan anak yatim, orang tua dan warga emas.

Katanya, RM200,000 rizab untuk mahasiswa dan mahasiswi di institusi pengajian tinggi dan pelajar-pelajar di sekolah, maahad tahfiz di negeri Perak yang perlu menginap di tempat pengajian semasa tempoh PKP.

“Sebanyak RM200,000 membiayai keperluan asas penjagaan diri dalam bentuk alat kebersihan dan kesihatan, bahan ubatan serta makanan tambahan, semasa individu berada di pusat gelandangan.

“RM200,000 disediakan rizab untuk membiayai belanja vaksinasi kepada kumpulan yang dikenal pasti perlu disegerakan mendapat vaksinasi,” katanya.

Menurutnya, MAIPk turut memberikan pengecualian bayaran sewa dan pajakan hartanah wakaf berjumlah RM98,000 dan hartanah baitulmal berjumlah RM50,000 di premis dan tapak perniagaan MAIPK bagi bulan Jun.

“MAIPk akan mengkaji tempoh pengecualian bayaran sewa dan pajakan, tertakluk sama ada tempoh PKP 3.0 akan dilanjutkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya