JERANTUT : Kegembiraan pelajar Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tahun lalu, Puteri Nurul Ain Nadhirah Mohd Zaid, 18, turut dikongsi bersama oleh datuknya, Wan Mahmud Wan Mohamad di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut hari ini.
Puteri Nurul Ain Nadhirah yang memperoleh keputusan cemerlang 5A dalam mata pelajaran bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sains, Pertanian dan Perniagaan tidak menyangka usaha yang bersungguh serta kewaspadaan berdepan ancaman pandemik Covid-19 membuahkan hasil pencapaian yang agak baik.
Anak kepada pasangan Mohd Zaid Zamil, 44, yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut dan Wan Zaliana Wan Mahmud, 45, seorang suri rumahtangga berkata, dia banyak mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap apa yang diajar oleh guru.
“Saya cuma belajar di kelas persediaan sebelum menduduki peperiksaan SPM dalam tempoh yang singkat memberikan kelebihan memperoleh tips menjawab soalan daripada guru.
“Malah saya juga tidak dapat belajar secara berkumpulan bersama rakan kerana pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bimbang wabak Covid-19. Saya cuma duduk di rumah mengulang kaji sendiri selepas sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut hari ini.
Bekas pelajar SMK Felda Kota Gelanggi Dua itu selanjutnya berkata, masa belajar banyak ditumpukan menerusi PdPR menerusi talian Google Meet juga gembira dapat menatap wajah guru dan rakan.
“Mujurlah ada alat peranti milik ibu di rumah dan sekali sekala menggunakan komputer riba bapa memudahkan saya mengikuti PdPR ketika sekolah dibenarkan ‘bercuti’ dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19.
“Walaupun belajar tanpa bersemuka di kelas cuma mengikuti PdPR menerusi talian Google Meet, tetapi saya tetap berusaha kerana peperiksaan (SPM) inilah yang akan menentukan masa depan,” katanya.
Anak kedua daripada empat beradik menambah dia bersyukur atas kejayaan itu dan itulah setakat yang termampu belajar sambil berwaspada ketika kesulitan berdepan ancaman pandemik Covid-19.
“Saya berterima kasih kepada guru yang berkorban memberikan ilmu dan panduan sebelum peperiksaan, manakala datuk serta ibu bapa yang banyak memberikan nasihat serta dorongan dalam susah payah belajar ketika tempoh ancaman Covid-19 ini.
“Saya bercita-cita ingin menjadi seorang pendidik dan akan memohon kemasukan peringkat ijazah dan latihan keguruan di mana-mana Institusi Pendidikan Guru tidak lama lagi,” ujarnya.
Sementara itu Wan Mahmud yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Felda Kota Gelanggi Dua berkata, dia turut bersyukur dan gembira dengan pencapaan yang diperoleh cucunya.
“Saya selalu menasihatkan dia supaya memberikan tumpuan ketika belajar di kelas dan lebih lagi sewaktu PdPR selain menjaga keselamatan diri memandangkan ancaman pandemik Covid-19 masih belum berpenghujung,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE