KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) memaklumkan sebanyak tiga kluster baharu Covid-19 dilaporkan di negeri ini hari ini menjadikannya jumlah keseluruhan sebanyak 32 kluster.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Bahari Che Awang Ngah berkata, tiga kluster baharu tersebut ialah kluster Industri Gebeng dan Batu Hitam di Kuantan serta Kluster Kampung Mat Daling di Jerantut.
Menurutnya, setakat ini, sebanyak 14 kluster aktif di negeri ini yang mencatatkan pertambahan kes baharu sehingga menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif Covid-19 mencecah 10,139 kes.
“Kluster Industri Gebeng bermula dengan satu kes dilaporkan 28 Mei lalu dengan penularan wabak di tempat kerja apabila seorang rakyat tempatan yang mempunyai gejala menyebabkan seramai 70 individu disaring dan 25 kes dikesan positif Covid-19.
“Bagi kluster Batu Hitam bermula dengan satu kes positif pada 21 Mei lalu, juga bermula dengan penularan di tempat kerja melibatkan seorang lelaki berusia 52 tahun di sebuah kilang di Gebeng.
“Siasatan lanjut mendapati berlaku aktiviti menziarahi keluarga yang tinggal berdekatan pada hari raya pertama, 13 Mei lalu dan selepas saringan dilakukan terhadap 80 kontak rapat dan 39 kes dikesan positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Bahari berkata, bagi kluster Kampung Mat Daling, penularan wabak itu melibatkan ahli keluarga dan penduduk di sekitar kampung yang berkumpul dan beraya bersama.
“Kes di Kampung Mat Daling mula dilaporkan pada 25 Mei lalu disyaki bermula daripada kes indeks seorang wanita tempatan berusia 37 tahun yang tidak mempunyai sejarah penyakit.
“Namun, disebabkan mula mengalami gejala hilang deria rasa 21 Mei lalu, dia ke klinik swasta untuk menjalani saringan ujian dan didapati positif.
“Sasatan lanjut mendapati, dia telah pulang ke Kampung Mat Daling dari 11 Mei hingga 18 Mei lalu… seramai 47 kontak rapat disaring melibatkan ahli keluarga beserta penduduk kampung dan mendapati 10 kes disahkan positif Covid-19,” katanya.
Sementara itu katanya, daripada 135 kes baru hari ini, sebanyak 122 kes merupakan rakyat tempatan, manakala 13 kes merupakan warganegara asing.
“132 kes merupakan jangkitan tempatan, dua kes merupakan jangkitan Import B (satu kes dari Terengganu, satu kes dari Perak) dan satu kes adalah di kalangan orang kena tahan (OKT).
“Selain itu, 73 kes diperolehi daripada saringan kluster, 47 kes saringan kontak rapat, 13 kes saringan bergejala dan masing-masing satu kes bagi saringan pekerjaan dan kendiri,” katanya. -UTUSAN ONLINE