KUALA LUMPUR: Co-opbank Pertama (CBP) terus menjadi institusi perbankan koperasi pilihan utama dalam kalangan anggota yang terdiri daripada syarikat korporat, agensi kerajaan, koperasi dan individu.
Ini berikutan sokongan berterusan dan keyakinan 92,000 anggotanya terhadap penerapan prinsip koperasi untuk menyumbang ke arah pencapaian matlamat sosioekonomi negara.
Pengerusinya, Kamari Zaman Juhari berkata, CBP akan terus komited dalam melakukan perubahan untuk meneroka keperluan pengguna menerusi tawaran produk dan perkhidmatan terbaik.
“Sebagai institusi kewangan berusia lebih 70 tahun, CBP memiliki kelebihan dari sudut pengalaman pengurusan aktiviti perbankan dengan memberi tumpuan kepada jangkaan pelanggan yang diperlukan masyarakat.
“Untuk tahun ini, CBP akan memperkenalkan beberapa inisiatif baharu bagi meningkatkan deposit runcit dalam mengimbangi sumber dana CBP menerusi akaun simpanan i-Salam yang menawarkan kadar keuntungan berperingkat bermula satu hingga 1.75 peratus bergantung kepada jenis akaun dan jumlah simpanan.
“Selain itu, usaha mempromosi pelbagai jenis pembiayaan telah diberi keutamaan sebelum ini khususnya aktiviti pembiayaan peribadi kepada guru, kakitangan kerajaan dan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Untuk rekod, prestasi kewangan tahunan CBP mencatat sebanyak RM52.69 juta bagi tahun 2018; RM73.95 juta (2019) dan modal syer hampir RM1 bilion pada akhir Disember tahun 2020 melalui sumbangan 91,409 anggota individu dan 733 koperasi.
Penerimaan deposit CBP turut meningkat sebanyak RM4.6 bilion atau 44.6 peratus pada tahun lalu berbanding RM3.18 bilion pada akhir 2019 manakala aset pembiayaan meningkat kepada RM3.93 bilion berbanding RM3.06 bilion pada 2019.
CBP mengembangkan operasinya di seluruh negara dengan jumlah 28 cawangan selain lima cawangan khusus akan dibuka bagi pembiayaan Ar-Rahnu sebagai projek perintis yang satu daripadanya telah beroperasi di Setapak sejak Disember tahun lalu.
Mengulas berkenaan pencapaian pada tahun lalu, Kamari Zaman berkata, ia amat bermakna kepada seluruh anggota setelah mendapat pengiktirafan tempat pertama dalam indeks 100 Koperasi Terbaik Negara 2020 walaupun berdepan cabaran akibat pandemik Covid-19.
Katanya, meskipun tahun lalu sangat mencabar, CBP tetap menyesuaikan diri dalam norma baharu dengan perancangan tersusun dan pelaksanaan strategi perniagaan secara sistematik khususnya dalam peningkatan kecekapan modal dan penerapan perubahan budaya kerja sesuai dengan keadaan semasa.
“Dengan pengiktirafan ini, CBP akan terus berusaha memperbaiki dan memperkenalkan produk-produk dan perkhidmatan baharu terbaik kepada pelanggan kami sekaligus menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara dan peneraju pembiayaan koperasi,” katanya.
Beliau berkata, CBP turut memberi keutamaan kepada kebajikan pelanggan melalui pemberian moratorium secara automatik dalam fasa pertama dan bersasar bagi fasa dua dan tiga yang memberi manfaat kepada 67,939 pelanggan melibatkan jumlah pembiayaan hampir RM3 bilion.
Antara lain, CBP juga akan memperkenalkan permohonan pemindahan dana secara eletronik menggunakan aplikasi mudah MyCoopbank bagi membolehkan pelanggan menyemak baki akaun secara dalam talian.
Dalam pada itu, katanya, CBP turut memainkan peranan untuk membantu kerajaan mencapai matlamat Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (Transkom) 2021-2025.
Malah, CBP akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi mengadakan simposium Transkom pertama yang bakal mengumpulkan seluruh koperasi kredit tempatan.
“Simposium ini dijangka berlangsung pada akhir suku ketiga tahun ini bagi membincangkan pelan rangka panjang Transkom dan CBP menjadi pembiaya utama kepada sektor koperasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE