KUALA LUMPUR: Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas (CBN) muktamad untuk tidak meneruskan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini selepas surat pengesahan bagi melanjutkan tempoh pajakan selama 60 tahun, diterima Isnin lalu.
Peguam Damien Chan yang mewakili sekolah berkenaan memberitahu pihak media, berikutan perkembangan baharu itu pihaknya memfailkan notis semalam untuk tidak meneruskan
prosiding semakan kehakiman.
Tindakan undang-undang itu diambil oleh pengelola CBN, Lady Superior of the Society of Saint Maur (Lady Superior) bagi mengekalkan lokasi sekolah itu di Jalan Bukit Nanas di sini.
Pada 7 April lalu, Lady Superior selaku pemohon memfailkan semakan kehakiman dengan menamakan Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan selaku responden selepas pajakan yang akan berakhir 6 September ini, tidak diperbaharui.
Dalam permohonan itu, Lady Superior berkata, beliau telah menulis surat kepada responden pada 4 Oktober 2017 meminta pajakan itu dilanjutkan, namun menerima balasan pada 18 Disember tahun lalu yang menyatakan tempoh pajakan tidak akan diperbaharui.
Menurut afidavit yang difailkan, keputusan kerajaan untuk tidak memanjangkan tempoh pajakan melanggar kebebasan asasi dan hak untuk mendapat pendidikan.
Sehubungan itu, sekolah terbabit antara lain memohon satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Pejabat Tanah dan Galian yang tidak memanjangkan tempoh pajakan.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin pada 19 April lalu memberikan kebenaran kepada Lady Superior untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan tersebut.
Bagaimanapun, pada 22 April lalu, kerajaan bersetuju tempoh pegangan pajakan tanah tapak sekolah itu yang akan tamat pada 6 September ini dilanjutkan untuk tempoh 60 tahun.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan berkata, keputusan melanjutkan tempoh pajakan itu dibuat selepas mengambil kira sumbangan sekolah berkenaan kepada pendidikan negara sejak 1899. -UTUSAN ONLINE