GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) mempertikai kewibawaan kerajaan negeri membawa RM70 bilion pelaburan langsung asing (FDI) dan mewujudkan lebih 300,000 pekerjaan dalam tempoh masa 30 tahun menerusi projek tambak laut di perairan selatan (PSR).
Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menegaskan, unjuran yang memetik kajian oleh badan bebas tersebut tidak pernah dikeluarkan sebelum ini sebagai asas kepada projek PSR.
Jelasnya, unjuran itu mungkin difikirkan kemudian berikutan bantahan kuat terhadap projek tersebut daripada NGO dan pihak-pihak lain berdasarkan aspek sosio ekonomi dan sains yang kukuh serta berasas.
Sedangkan, menurutnya, isu utama iaitu fakta yang mana tapak projek PSR seluas lebih 1,800 hektar itu yang melibatkan kawasan alam sekitar sensitif tidak dipertikaikan kerajaan negeri.
Tambahnya, tambak laut untuk tiga pulau itu akan melibatkan longgokan kira-kira 190 juta meter padu bahan isian terdiri daripada pasir dan batu ke dalam laut.
“Ini tidak mengambil kira bahan pada skala besar yang perlu diambil dari luar kawasan itu dan kesan yang akan disebabkannya.
“Jumlah ini bersamaan saiz 76,000 kolam renang bertaraf Olimpik yang dibina di laut.
“Disebabkan tebus guna ini berlaku di bawah air, hasil skala kerosakan yang besar ini tidak disedari dan tidak dapat dilihat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu juga bagi menyokong pendirian Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang sebelum ini meminta kerajaan Pusat dan kerajaan negeri membatalkan projek PSR serta-merta.
Menurut NGO terbabit, Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) untuk projek tersebut mengakui akan terdapat kesan negatif kekal yang amat ketara kepada sumber perikanan, nelayan dan jaminan keselamatan makanan.
Malah katanya, kelulusan oleh Ketua Pengarah JAS tersebut dicabar oleh kumpulan nelayan melalui proses perundangan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan akan didengar pertengahan bulan depan.
Sehubungan itu jelasnya, semua dakwaan kelestarian alam projek PSR oleh kerajaan negeri termasuk langkah mitigasi dan `offset’ yang akan dilakukan sedang dicabar secara perundangan dan menjadi subjek utama pertikaian.
“Pada hakikatnya, rayuan ini tidak dipedulikan oleh kerajaan negeri yang mahu meneruskan projek tanpa menunggu hasil rayuan.
“Ini bertentangan dengan tadbir urus yang baik dan menghormati kedaulatan undang-undang,” katanya. – UTUSAN ONLINE