JOHOR BAHRU: Johor merekodkan peningkatan jumlah calon yang layak menerima Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) bagi tahun lalu berbanding 2019 walaupun dalam keadaan negara bergelut dengan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang berkata, jumlah peratusan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 1.7 peratus iaitu 88.13 peratus berbanding 86.43 peratus.
Menurut beliau, indeks Gred Purata Nasional (GPN) Johor bagaimanapun kekal pada kedudukan sama iaitu 4.68 bagi tahun 2020, sama seperti tahun sebelumnya.
“Berdasarkan kepada perbandingan keseluruhan, calon yang mendapat keputusan A+ dalam semua mata pelajaran bagi SPM 2020 adalah seramai 22 orang, penurunan 34 orang daripada seramai 56 calon dalam SPM 2019.
“Bilangan 22 calon itu adalah daripada jumlah keseluruhan seramai 43,453 calon yang berdaftar untuk mengikuti SPM 2020 iaitu sebanyak 0.05 peratus.
“Sementara itu, bilangan calon cemerlang iaitu mendapat A (A+, A, A-) bagi SPM 2020 adalah seramai 1,035 orang, penurunan 48 calon berbanding seramai 1,083 calon pada 2019,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mazlan, sejumlah 58 buah sekolah di Johor telah mencatat keputusan 100 peratus layak mendapat sijil peperiksaan meliputi sekolah di kawasan bandar dan luar bandar.
“Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi menunjukkan keputusan cemerlang bagi sekolah berasrama penuh dengan seramai 52 pelajar mendapat keputusan semua A.
“Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Penggawa Timur pula mencatatkan keputusan cemerlang bagi kategori sekolah harian luar bandar manakala SMK Jesus Convent bagi sekolah harian bandar.
“Bagi kategori Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), SMKA Johor di Pasir Gudang mencatat keputusan cemerlang selain Sekolah Menengah Agama An-Nur, Pontian bagi kategori Sekolah Agama Bantuan Kerajaan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE