Cadang pendaftaran vaksin secara automatik - PM - Utusan Malaysia

Cadang pendaftaran vaksin secara automatik – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memastikan tiada siapa ketinggalan dalam program vaksinasi termasuk memudahkan proses pendaftaran penerimaan vaksin Covid-19 dalam kalangan rakyat. 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam hal itu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) diminta untuk menilai cadangan melaksanakan proses pendaftaran secara automatik bagi memastikan seramai mungkin rakyat menerima vaksin.

Beliau berkata,  sehingga hari ini, hampir 13 juta individu mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin, namun jumlah itu hanya meliputi 51 peratus daripada jumlah keseluruhan yang layak untuk menerima vaksin. 

“Saya mendengar keluhan daripada penduduk di luar bandar, kampung-kampung dan pedalaman terutamanya warga emas yang sukar untuk membuat pendaftaran dan menerima vaksin. 

“Untuk itu, saya telah mengarahkan semua kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat agar menggunakan semua aset kerajaan bagi mempermudahkan mereka mendapat vaksin,” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) hari ini. 

Menurut Muhyiddin, kerajaan turut melancarkan unit-unit vaksinasi bergerak ke kampung-kampung dan kawasan pedalaman untuk memudahkan proses vaksinasi kepada penduduk kampung, orang asli, warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan gelandangan. 

Setakat 3 Jun lalu, sebanyak sembilan negeri mengaktifkan unit vaksinasi bergerak antaranya di daerah Tenom dan Kinabatangan, Sabah; daerah Gua Musang dan Pasir Puteh, Kelantan dan daerah Hilir Perak dan Kuala Kangsar, Perak.

Di Pulau Pinang pula, kata beliau, kerajaan telah memulakan perkhidmatan unit vaksinasi bergerak di lapan rumah jagaan orang tua setiap hari, manakala di Selangor, setiap daerah mempunyai unit vaksinasi bergerak sendiri.

“Kerajaan juga membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khusus bagi golongan OKU seperti di Malaysian Association for the Blind di Brickfields bagi OKU penglihatan bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga  dan Masyarakat,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan turut memperkenalkan Trak Vaksin Bergerak dengan sasaran memberi vaksin dos lengkap kepada 400,000 penduduk di sekitar Kuala Lumpur terutamanya di kawasan padat seperti di Projek Perumahan Rakyat dan Pusat Transit Gelandangan.

Peningkatan kapasiti itu, kata beliau, diharapkan mampu memberi vaksin kepada lebih ramai penduduk, seterusnya mempercepatkan usaha untuk mencapai sasaran yang ditetapkan. 

“Saya ambil maklum, keresahan ramai yang masih belum menerima tarikh janji temu vaksin masing-masing. 

“Oleh itu, saya telah mengarahkan JKJAV untuk memastikan mereka yang telah mendaftar melalui semua platform mendapat tarikh janji temu secepat mungkin,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri  menyeru rakyat Malaysia agar tampil ke hadapan sebagai sukarelawan untuk membantu melancarkan proses pemberian vaksin. 

Kata beliau, golongan belia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dialu-alukan untuk menyumbang tenaga dan masa bagi menjayakan program vaksinasi terbesar dalam sejarah negara. 

Perdana Menteri berkata, penglibatan dan sokongan semua pihak amat diperlukan dalam pendekatan whole of government dan whole of society untuk mencapai 80 peratus yang disasarkan untuk membentuk imuniti berkelompok.

“Bagi yang telah menerima suntikan vaksin, jangan pula ambil mudah terhadap pemakaian pelitup muka dan langkah-langkah pencegahan jangkitan Covid-19.

“Bersamalah kita memainkan peranan sebagai frontliners untuk keluarga dan juga komuniti kita. Jangan sesekali kita leka dalam peperangan menentang Covid-19 ini. Ayuh rakyat Malaysia, kita jayakan PICK ,” katanya. -UTUSAN  ONLINE 

 

habis 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya