PETALING JAYA : Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipersoal ekoran kelewatan melaksanakan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) walaupun data dan fakta menunjukkan angka jangkitan Covid-19 meningkat.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beberapa petanda awal telah ditunjukkan sebagai amaran bahawa kes amat membimbangkan, seperti yamg dinyatakan Kementerian Kesihatan.
Beliau mempersoalkan kenapa kerajaan PN tidak melaksanakan sekatan pergerakan penuh pada 21 April lalu apabila kes baharu mencecah unjuran 3,000 kes sehari dan Kementerian Kesihatan menaikkan unjuran kepada 5,000 kes.
Pada 2 Mei pula, kata Najib, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memberi amaran bahawa katil di unit rawatan rapi (ICU) sudah kritikal manakala pada 12 Mei kes baharu diunjurkan 5,000 kes sehari dan unjuran dinaikkan sekali lagi ke 9,000 kes.
“ (Adakah) 3,000 kes sehari bukan bencana, 5,000 kes tak bencana? 9,000 kes sehari belum lagi bencana,?” soal Najib menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Akhirnya, kata beliau kes baharu mencecah 9,000 dan Kementerian Kesihatan sekali lagi menaikkan unjuran kepada 13,000 kes sehari.
Menurut Najib, selepas kes tersebut, baharulah kerajaan terpaksa laksanakan sekatan pergerakan penuh (total lockdown).
“Lalu claim (dakwa) kredit bahawa mereka telah (berjaya) elakkan bencana sebab tak sampai ramalan Kementerian Kesihatan untuk 13,000 kes sehari, “ ujar beliau yang kerap berkata dalam nada sinikal total lock down yang dilaksanakan sekarang tidak pun sebenarnya total .
Najib berkata, beliau percaya ahli keluarga bagi 2,680 mangsa Covid-19 yang terkorban serta 214,222 orang yang dijangkit sejak 21 April lalu ada hak untuk ‘naik darah’ apabila membaca kenyataan Perdana Menteri ke-8 (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang memuji langkah kerajaan melaksana sekatan pergerakan penuh dan mengelak bencana sebab kes baharu akhirnya Covid tidak mencapai unjuran 13,000 kes sehari.
Katanya, lagi sebagai sebuah kerajaan yang menghargai nyawa rakyat dan sayang negara, kerajaan sepatutnya membuat keputusan tepat yang berpandukan pada data dan sains dan tidak akan mengenepikan amaran daripada kementerian sendiri.
Menurut beliau Australia, Taiwan, New Zealand dan Singapura melaksanakan sekatan pergerakan penuh secara mengejut serta-merta untuk seketika sebaik sahaja kerajaan mengesan belasan kes baharu.
“Kita di sini pula, tunggu lebih sebulan sambil Kementerian Kesihatan berulang kali menaikkan unjuran dan berkali-kali memberi amaran. (Lepas itu) baharulah kerajaan PN terpaksa buat (laksanakan sekatan pergerakan penuh) setelah keadaan kritikal menjadi bencana dan bencana bertukar menjadi bencana besar, “ kata Najib lagi.
Kata beliau apabila sakit menimpa, sesal kemudian pun sudah tidak berguna sebab ribuan nyawa sudah terkorban secara sia-sia dan ekonomi rakyat biasa terpaksa lumpuh hingga akhir tahun.
“Tak kira awal atau lewat buat lockdown, kita tetap lockdown juga.
“Namun jika dibuat awal secara ketat ketika masanya paling tepat, tempoh masa untuk pulih juga akan jauh lebih singkat seperti terbukti di negara-negara lain.
“Adakah kerajaan PN pernah terfikir berapa ramai nyawa manusia dapat diselamatkan, berapa ratus bilion ringgit impak ekonomi tidak terbuang dan berapa banyak penderitaan serta kemusnahan dapat dielakkan sekiranya kerajaan membuat keputusan yang tepat dan tidak lembab?, “ ujarnya.
Sebagai rekod, sekatan pergerakan penuh dilaksanakan bermula 1 Jun lalu selama dua minggu sebelum dilanjutkan dua minggu lagi berkuat kuasa 15 Jun hingga 28 Jun ini- UTUSAN ONLINE