KOTA TINGGI: Bunyi kuat letupan cermin berjaya menyelamatkan empat beranak daripada hangus terbakar apabila kediaman mereka musnah dalam kejadian di Felda Air Tawar 1, di sini awal pagi ini.
Menurut salah seorang penghuni, Muhammad Nur Rasyid Judin, 23, berkata, ketika kejadian, dia bersama ibu dan dua orang adiknya sedang tidur di dalam rumah milik datuknya.
“Saya tersedar apabila dengar bunyi kuat letupan cermin tingkap dan melihat kepulan asap memasuki ruang bilik.
“Saya terus kejutkan ibu dan adik-adik, kami sempat selamatkan kereta dan motosikal sahaja sementara yang lain-lain kami tidak mampu selamatkan kerana api marak dengan cepat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Muhammad Nur Rasyid berkata, kebakaran dipercayai berpunca daripada suis utama rumah yang disyaki berlaku litar pintas sebelum membakar kediaman yang sebahagian besar berstruktur kayu.
Terdahulu, keluarga berkenaan menerima sumbangan bantuan peralatan serta wang tunai daripada Pusat Khidmat Wakil Rakyat Ahli Parlimen Pengerang yang disampaikan Pegawai Khas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ghazali Abas.
Sementara itu, seramai 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi dan Bandar Penawar diketuai Ketua BBP Kota Tinggi, Azman Jantan telah dikejarkan ke tempat kejadian.
Azman berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 2.47 pagi di mana kebakaran itu telah memusnahkan lebih 90 peratus daripada keseluruhan rumah tersebut.
“Tindakan operasi memadam kebakaran dengan menggunakan dua aliran 200 kaki sumber air dari pam jentera J1-50 sumber air pili bomba berdekatan sehingga api padam sepenuhnya.
“Kebakaran tidak melibatkan mangsa sementara punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya. -UTUSAN ONLINE