PUTRAJAYA: Kegagalan individu mengemas kini status diri dalam aplikasi MySejahtera bukanlah kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Perkara itu ditegaskan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob susulan timbul kekeliruan berhubung isu tersebut yang tular dalam media sosial sejak beberapa hari lalu.
“Saya ingin memaklumkan bahawa ia tidak pun terkandung sebagai satu kesalahan untuk dikenakan kompaun oleh mana-mana penguat kuasa,” katanya semalam.
Beliau merujuk berita tempatan yang melaporkan anggota penguat kuasa mengeluarkan kompaun kepada individu gagal melakukan kemas kini status kesihatan diri di MySejahtera.
Mengulas lanjut, beliau berharap dan menyarankan agar mana-mana kompaun yang telah pun dikeluarkan terhadap individu itu atas kesalahan terbabit perlulah segera dibatalkan.
Pada masa sama, penguat kuasa juga dinasihatkan supaya tidak pula salah faham dalam membuat sebarang tafsiran berhubung peraturan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.
“Hal ini termasuklah kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang membabitkan syarikat atau kilang dikesan beroperasi lebih masa ditetapkan,” tegas beliau.
Jika ia berlaku, ujar Ismail Sabri, maka, tindakan penguatkuasaan perlu dikenakan ke atas majikan atau syarikat yang memaksa pekerja bertugas lebih daripada masa dibenarkan.
Kesalahan itu bukan dilakukan pekerja kerana mereka terpaksa akur kepada arahan, namun, tindakan boleh dikeluarkan kepada majikan syarikat atau kilang yang memberi arahan.
Begitu juga jika ada majikan masih menetapkan pekerja datang bertugas di tempat kerja meskipun ada arahan bertugas di rumah, maka kompaun adalah terus kepada majikannya.
“Walaupun bukan kesalahan di bawah akta itu jika tidak mengemas kini MySejahtera, namun sebagai warga bertanggungjawab, kita perlu berintegriti terhadap aplikasi ini,” katanya.
Beliau menambah, MySejahtera dibangunkan kerajaan untuk membantu dalam pengawasan penukaran wabak Covid-19 dengan pengguna boleh melakukan penilaian status kendiri.
Justeru ujarnya, aplikasi ini bukan sekadar untuk diimbas apabila memasuki premis tetapi lebih penting, merekodkan pergerakan lokasi tertentu dan aktiviti individu pada hari terbabit.
Sebagai rakyat jelasnya, bukan hanya perlu bersikap jujur namun memegang amanah dalam memastikan maklumat tepat jika ada gejala atau kaitan dengan individu dijangkiti Covid-19.
Aplikasi itu tegas Ismail Sabri, memudahkan individu dalam memastikan keselamatan sosial demi kepentingan kesihatan agar kes positif, kontak rapat dan sebagainya diuruskan segera.
“Segala salah faham dan kekeliruan yang timbul sebelum ini diharap dapat ditambah baik dan saya memohon pemahaman semua agar kita mengekang penularan wabak itu,” kata beliau. -UTUSAN ONLINE