'Bukan ah long yang larikan lelaki itu' - Polis - Utusan Malaysia

‘Bukan ah long yang larikan lelaki itu’ – Polis

MOHD FADZLI MOHD ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis menafikan insiden seorang individu dilarikan sekumpulan lelaki yang menaiki kereta Proton Persona di hadapan sebuah kedai di Taman Mount Austin, di sini kelmarin, ada berkaitan dengan sindiket ah long.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, dalam kejadian itu, mangsa telah dibebaskan suspek pada hari sama kira-kira pukul 7 malam di tepi jalan berhampiran kawasan Mount Austin, dekat sini.

Beliau berkata, lelaki berusia 20-an itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu sehari kemudian iaitu pada pukul 3.42 petang, semalam.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati ada penglibatan seorang wanita dalam kejadian ini. Bertindak atas maklumat polis berjaya menahan wanita terbabit.

“Motif sebenar suspek melarikan mangsa masih dalam siasatan, namun siasatan setakat ini tidak melibatkan kegiatan ah long,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian kelmarin, mangsa yang sedang berada di hadapan sebuah kedai didatangi lima lelaki yang bertindak memukul sebelum membawa lari dengan menaiki sebuah kereta berwarna perak yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Mangsa kemudiannya dilepaskan di kawasan tersebut kira-kira satu jam kemudian setelah dia dilarikan sekumpulan lelaki berkenaan. 

Mohd. Padzli memberitahu, wanita terbabit direman tiga hari bermula hari ini hingga Ahad dan usaha mengesan suspek yang lain masih giat dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182 323 atau pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Nizam Ramon di talian 011-16086 119,” katanya. 

Sementara itu, kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya