Budak Beseri ke Akademi Bolasepak Cruzeiro Brazil - Utusan Malaysia

Budak Beseri ke Akademi Bolasepak Cruzeiro Brazil

AKSI Uzzair Zayyan Naimulddin (kanan) dalam satu kejohanan yang disertainya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Cita-cita seorang murid berusia 12 tahun dari Beseri di sini untuk menjadi pemain bola sepak profesional dan berada di pentas antarabangsa semakin cerah apabila diterima masuk ke Akademi Bola Sepak Cruzeiro Brazil – British International School Phuket (BISP), bermula Ogos ini.

Uzzair Zayyan Naimulddin, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tunjong, Beseri diserap di bawah Program High Performance Team (HPT) dan mendapat biasiswa sukan berjumlah RM120,000 setahun yang dikendalikan di bawah Cruzeiro Football Academy Brazil.

Kanak-kanak tersebut me­rupakan pelatih Akademi Tunas Kangar di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) bermula 2016 hingga 2021 dan antara pemain bola sepak remaja Malaysia mendapat tempat di akademi tersebut.

Semasa di akademi tersebut nanti, anak jati Perlis itu berpeluang berlatih sepenuhnya di bawah pengendali dan modul dari Brazil bersama pemain negara lain dari seluruh dunia.

Uzzair Zayyan sebelum ini pernah beraksi dengan Kelab Bola Sepak KSMR Kangar Ju­nior (U9) dan Kelab Bola Sepak Kangar 09 Dragons (U10-U12) di bawah bimbingan jurulatih, Norhisham Jaafar yang telah menyertai banyak kejohanan bola sepak di seluruh negara.

Tahun lalu, dia dipilih menyertai kem bola sepak pe­ringkat antarabangsa bersama kelab Eropah dari Belanda, Ajax Amsterdam di bawah program tajaan TH Global Football Camp, namun program tersebut batal disebabkan pandemik Covid 19.

Beraksi di posisi tengah, Uzzair Zayyan menjadikan bekas bintang Barcelona, Xavi Hernandez sebagai idola yang dianggapnya perancang tengah terbaik dan dapat membuat keputusan tepat ketika berada dalam penuh tekanan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Zamri Ibrahim berkata, Uzzair Zayyan merupakan antara bakat dan aset terpenting bola sepak negara.

“Saya memberi sokongan penuh dan rasa amat bangga dengan pencapaian kanak-kanak tersebut. Diharapkan Uzzair Zayyan dapat terus kekal dan konsisten dalam mengejar cita-citanya,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, pemain bawah 19 tahun negara, Muhammad Adam Nadzmi Zamri dan Celine Chuang, pemain remaja wanita negara yang kini beraksi bersama Kelab gergasi Jerman, FC Bayern Munich pernah me­nyertai Akademi Bola Sepak Cruzeiro itu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya