Buah kristal dijual FAMA `laku keras' - Utusan Malaysia

Buah kristal dijual FAMA `laku keras’

PETUGAS FAMA menunjukkan buah kristal yang mendapat sambutan hangat ketika dijual di tiga premis agensi itu semalam. – Gambar ihsan FAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Meskipun tiada promosi secara besar-besaran dibuat, buah kristal yang julung kali dijual Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) laris dibeli peminatnya.

Jurucakap agensi itu ketika dihubungi Mingguan Malaysia memaklumkan, populariti buah itu yang dibawakan khas dari Sarawak ternyata mendapat sambutan di luar dugaan mereka.

“Sejak awal subuh sebelum dibuka pukul 8 pagi, Pusat Operasi FAMA di Selayang, Selangor sudah diserbu pelanggan yang tidak mahu ketinggalan menikmati buah unik ini,” katanya.

Reaksi luar biasa itu ujarnya, turut dibantu dengan laporan Utusan Online sehari sebelum aktiviti penjualan semalam termasuk di Pasar Tani Borong Selayang dekat sini.

Ramai pelanggan dilaporkan sanggup menghubungi ibu pejabat FAMA bagi menempah awal buah tersebut sebelum penjualan sebenar walaupun harga ditawarkan RM18 sekilogram.

Keadaan itu mengakibatkan bekalan untuk dihantar ke MyFarm Outlet FAMA di Presint 7, di sini terpaksa dilewatkan kepada pukul 2 petang ekoran stok kehabisan lebih awal.

“Alhamdulillah, memang laku ‘keras’ dan kami mohon maaf jika ada pengunjung tidak dapat beli tetapi insya-Allah bakal dibawa lagi,” kata jurucakap FAMA itu.

Buah kristal yang turut dikenali sebagai matoa dianggap buah kebanggaan negeri Bumi Kenyalang itu seperti Perlis dengan imej mangga harumanis dan menjadi ikon makanan terkenal Sarawak seumpama mi kolok atau kek lapis.

Keunikan buah itu yang juga disebut kasai serta amat digemari di Indonesia, turut diberikan gelaran sebagai buah tiga rasa kerana memiliki gabungan rasa durian, laici dan rambutan.

Pokok buah ini atau nama saintifiknya, Pometia pinnata, banyak tumbuh liar di tepi sungai di rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik dengan ketinggian yang boleh mencecah 30 meter.

Pakar nutrisi menyarankan buah kristal elok dimakan kerana ada 11 khasiat antaranya vitamin A dan E yang mencegah penuaan sel selain meningkatkan aliran darah serta kulit menjadi cerah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya