BN Perak junjung kasih titah Sultan Nazrin perkenan dana RM14.6j bantu rakyat - Utusan Malaysia

BN Perak junjung kasih titah Sultan Nazrin perkenan dana RM14.6j bantu rakyat

SAARANI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak menjunjung kasih terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah atas perkenan baginda terhadap peruntukan RM14.6 juta bagi meringankan beban rakyat yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.

Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, peruntukan yang disalurkan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) itu adalah manifestasi kepekaan baginda terhadap impak yang ditanggung rakyat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mewakili seluruh jentera pentadbiran dan rakyat jelata, saya merafakkan setinggi-tinggi penghargaan ke atas keprihatian yang amat berat baginda Tuanku terhadap nasib golongan asnaf, keluarga miskin dan mereka yang hilang mata pencarian susulan pelaksanaan PKP.

“Titah baginda supaya bantuan turut disalurkan kepada petugas barisan hadapan membuktikan penghargaan baginda terhadap pengorbanan dan segala kerja keras pasukan perubatan dan keselamatan sepanjang berlakunya pandemik Covid-19,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Yang Dipertua MAIPk, Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini berkata, penyediaan dana itu khusus yang dititahkan kepada MAIPk merangkumi bantuan kecemasan kelangsungan hidup berjumlah RM10.9 juta dan RM600,000 bagi tajaan peralatan kesihatan serta perubatan diperlukan segera Jabatan Kesihatan Perak.

Baginda turut menyalurkan RM400,000 bagi sumbangan petugas barisan hadapan, RM1.5 juta bantuan pakej tablet dan data internet untuk peniaga menjalankan aktiviti perniagaan secara dalam talian serta kegunaan pelajar sekolah.

Baginda juga menyumbangkan RM400,000 untuk pusat jagaan anak yatim, rumah orang tua, serta warga emas Islam dan RM200,000 bantuan kebajikan pelajar luar negara.

Turut dirangkumkan dalam dana khas terbabit adalah tajaan bekalan makanan institusi pendidikan (RM200,000), sumbangan kepada pusat gelandangan sementara di bawah kendalian kerajaan negeri (RM200,000) dan sumbangan untuk program vaksinasi COVID-19 MAIPk yang menyasarkan kumpulan dikenal pasti perlu segera menjalani vaksinasi (RM200,000).

Saarani yang juga Menteri Besar berkata, sejak awal lagi, Sultan Nazrin begitu prihatin terhadap kesiapsiagaan kerajaan negeri dalam menghadapi pandemik Covid-19.

“Baginda mengikuti dengan rapat perkembangan langkah-langkah yang diambil bagi membendung penularan wabak berkenaan termasuk aspek pemberian vaksin kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya