KOTA KINABALU: Tidak logik untuk mengaitkan penangguhan pelaksanaan Undi 18 dengan situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan), Jo-Anna Sue Henley Rampas berkata, pelaksanaan Undi 18 sepatutnya sudah dilakukan kerana ia telah diluluskan di Parlimen pada 2019.
“Persoalan sekarang mengapa perkara yang sudah diluluskan di Parlimen sebelum ini tidak mahu diteruskan.
“Mengapa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih perlu meneliti beberapa perkara sedangkan Undi 18 ini diluluskan pada 2019. Kenapa mereka tidak boleh fikirkan isu-isu teknikal ini lebih awal kerana sudah dua tahun sejak diluluskan.
“Adakah penambahan 1.2 juta belia yang berusia antara 18 hingga 20 tahun itu mendatangkan ketakutan kepada kerajaan? Kenapa perlu takut dengan suara belia?.
“Berdasarkan prosedur, pelaksanaan Undi 18 ini sepatutnya sudah dilaksanakan. Jadi, saya ingin bertanya kepada kerajaan kenapa pelaksanaan Undi 18 ini masih ditangguhkan sehingga sekarang?,” katanya.
Jo-Anna berkata, sekiranya pelaksanaan Undi 18 ini memudaratkan kenapa ia diluluskan dalam Parlimen pada 2019.
Untuk itu, beliau mahu pelaksanaan Undi 18 disegerakan bagi membolehkan suara anak muda diambil kira dalam aspek pembangunan negara.
Sebelum ini Jo-Anna berkata, landskap politik negara pasti akan berbeza sekiranya Undi 18 dilaksanakan kerana pengundi muda lebih terbuka untuk menerima perubahan dalam politik negara.
Sementara itu, Ketua Exco Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Rizal Johari berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) komited untuk melaksanakan umur kelayakan pengundi 18 tahun sebagaimana pindaan Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui sebulat suara di Parlimen pada 2019.
Katanya, SPR akan mengambil langkah segera bagi memastikan perlaksanaan pengundi 18 tahun dapat direalisasikan bagi memberi peluang kepada golongan terbabit menjadi pemilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Atas sebab-sebab tertentu seperti proklamasi Darurat, ini mungkin kekangan yang dihadapi pihak berwajib, bagaimanapun itu tidak menjadi halangan. Apa yang pasti, perkara baharu perlu dilaksanakan setelah meneliti pelbagai apsek terutamanya dari segi perundangan,” katanya.
Mengenai aplikasi MySPRDaftar pula, ada segelintir anak-anak muda di kawasan pendalaman Sabah yang belum memliliki telefon pintar sendiri, malah kemudahan internet pun belum ada.
Untuk itu, SPR perlu memikirkan kaedah terbaik untuk membantu mereka didaftarkan secara automatik sekiranya pelaksanaan Undi 18 ini dilakukan.- UTUSAN ONLINE